SHAH ALAM, 25 JUN: Karnival Jelajah JobCare Selangor daerah Hulu Langat akan berlangsung di Dewan Dato' Ahmad Razali, Ampang esok dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata program anjuran Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia Negeri Selangor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu menghimpunkan 20 majikan terkemuka yang menawarkan pelbagai kekosongan jawatan.
“Calon yang berminat boleh hadir dengan berpakaian kemas serta membawa salinan resume terkini serta sijil berkaitan ketika hari temu duga.
“Pelbagai jawatan kosong ditawarkan dengan proses temu duga dilaksanakan secara terus. Aktiviti menarik lain seperti kaunseling kerjaya, pameran agensi kerajaan serta saringan kesihatan,” katanya menerusi Facebook.
Pendaftaran juga boleh dibuat melalui pautan https://careerfair.myfuturejobs.gov.my/careerfair/socsocareerfair/daftarjobseeker.php?id=MjE1OA== atau imbasan kod QR di poster tertera.
Sebelum ini, Papparaidu memaklumkan lebih 70,000 peluang pekerjaan, termasuk jawatan berpendapatan tinggi ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya JobCare Selangor sepanjang tahun ini.
Kerajaan Negeri merancang sembilan siri Jelajah JobCare tahun ini, bermula di Kuala Langat sebagai usaha memperluaskan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor.
Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar memaklumkan karnival jelajah itu akan ditambah baik tahun depan, termasuk melibatkan program pensijilan dan pembangunan kemahiran.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan dalam usaha menangani isu pengangguran.











