PRN Johor: 90 laporan polis diterima, tidak libat calon atau parti bertanding- KPN

11 Jul 2026, 6:03 AM
PRN Johor: 90 laporan polis diterima, tidak libat calon atau parti bertanding- KPN

JOHOR BAHRU, 11 JULAI: Sebanyak 90 laporan polis diterima di seluruh negeri sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, yang berakhir tengah malam tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata laporan polis yang diterima itu, tidak melibatkan mana-mana calon atau pemimpin tertinggi parti.

Beliau berkata daripada jumlah laporan yang diterima, sebanyak 25 kertas siasatan telah dibuka bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“Kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan perbuatan khianat termasuk tindakan merosakkan, mencabut serta membakar bendera parti politik yang bertanding.

“Setakat ini (semua kertas siasatan) masih lagi dalam proses selanjutnya bagi mencari mereka-mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Molek, di sini hari ini.

Turut hadir memantau perjalanan proses pengundian ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad.

Mengenai perjalanan proses pengundian hari ini, beliau berkata setakat ini proses demokrasi yang melibatkan seramai 2.7 juta pemilih berdaftar itu berjalan dengan baik dan lancar, tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, beliau berkata sebanyak 14,000 pegawai dan anggota polis telah digerakkan ke semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor.

“Jumlah ini termasuk bantuan tenaga kerja daripada beberapa kontinjen di seluruh negara iaitu sebanyak 5,600 pegawai dan anggota,” katanya.

Beliau pada masa sama menasihatkan pengundi yang mahu membuat sebarang aduan atau ketidakpuasan hati, supaya tampil melaporkan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan awal diambil pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau agensi berkaitan.

Proses pengundian yang melibatkan 2.7 juta pemilih berdaftar itu dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini, selepas berakhirnya tempoh berkempen selama 14 hari pada tengah malam tadi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.