Yang Masih Bernama Perempuan

11 Jul 2026, 12:30 AM
Yang Masih Bernama Perempuan

Oleh Nik Hazlina Nik Hussain

Ilustrasi Muizzah 

Di asrama itu, setiap bulan ada satu ritual yang tidak pernah disebut secara rasmi.

Pelajar perempuan akan berbisik tentang tarikh.

Ada yang merungut senggugut.Ada yang meminta panadol. 

Ada yang berkongsi tuala wanita dengan rasa solidariti yang senyap tetapi difahami. Seolah-olah tubuh mereka semua bergerak mengikut kalendar yang sama.

Hannah hanya menjadi pemerhati. Di dalam lokernya yang kecil, terselit sebuah kalendar mini. Setiap bulan dia melingkari satu tarikh dengan pensel kelabu. Tarikh yang dipilih secara agak-agak. Tarikh yang kononnya mungkin menjadi hari pertama.

Malam demi malam, dia bangun lebih awal daripada bunyi loceng subuh. Dia berjalan ke tandas asrama sebelum orang lain bangun. Lampu pendarfluor masih menyala. Udara pagi masih sejuk.

Setiap kali itu, jantungnya berdebar. Dia memeriksa. Kosong.

Air paip menitis di sinki.

Tik.

Tik.

Tik.

Seolah-olah ejekan halus yang tidak pernah berhenti.

Di hadapan cermin tandas yang sedikit retak, Hannah memandang dirinya. Tubuhnya sedang berubah. Payudaranya mula terbentuk. Pinggulnya tidak lagi lurus seperti zaman kanak-kanak. Semua tanda menunjukkan dia sedang membesar. Semua tanda kecuali satu.

Dia teringatkan kata-kata Nurin pada suatu malam, ketika melipat pakaian di katil atas. “Nanti datanglah tu,” kata teman sebiliknya santai.

Hannah tersenyum kecil.

“Mungkin lambat sikit.”

Dia mengangguk. Tetapi senyum itu berhenti di bibir. Kerana jauh dalam dirinya, satu suara lebih kerap berbisik setiap bulan.

Bagaimana kalau “nanti” itu tidak pernah datang?

***

Bau antiseptik bertebaran nipis di udara. Sesekali nombor giliran dipanggil melalui pembesar suara, memecah kesunyian ruang menunggu klinik sakit puan.

Cik Illa duduk di sebelah Hannah di kerusi plastik yang keras. Cik Illa, adik arwah ibu Hannah — satu-satunya keluarga yang tinggal selepas kemalangan yang meragut kedua-dua ibu bapanya beberapa tahun lalu.

Sejak hari itu, dialah yang menguruskan segala-galanya: yuran sekolah, pakaian, asrama, dan kini janji temu di hospital.

Dia memeluk beg tangannya kemas-kemas, seolah-olah ada doa yang sedang ditahan di dalamnya.

Hannah memandang lantai mozek yang berkilat. Kenapa semua orang di sini nampak begitu pasti tentang tubuh mereka sendiri?

“Nombor dua puluh tiga.” Suara jururawat memanggil.

Cik Illa bangun. Hannah mengikut di belakang, seperti yang selalu dilakukannya sejak kecil.

***

Doktor menyelak fail Hannah, teliti.

“Hannah umur berapa sekarang?”

“Lima belas.”

Doktor mengangguk kecil. “Awak belum pernah datang haid langsung?”

Hannah menggeleng. Doktor menulis sesuatu dalam fail.

“Payudara dah mula berkembang?” Soalan itu membuat Hannah terasa janggal, tetapi dia mengangguk juga.

Doktor menutup fail. “Kita buat imbasan ultrabunyi ya. Kita nak tengok struktur dalam perut.”

***

Dalam bilik imbasan, cahaya malap. Hannah berbaring di atas katil pemeriksaan. Bajunya diselak sedikit. Gel sejuk disapukan pada perutnya. Dia tersentak kecil.

Doktor menggerakkan kuar ultrabunyi perlahan di atas perutnya. Imej hitam putih muncul di skrin. Kabur. Berlapis-lapis bayang.

Hannah tidak faham apa yang dilihatnya. Tetapi dia perasan sesuatu yang lain.

Doktor menjadi sangat diam. Kuar digerakkan ke kiri. Tengah. Ke kanan. Kemudian kembali ke tengah. Doktor memandang skrin itu lama.

Lama.

Terlalu lama.

“Ada apa-apa tak, doktor?”

Doktor tidak terus menjawab. Dia menarik kerusi, lebih dekat dengan Hannah.

“Hannah,” katanya dengan suara perlahan, “biasanya dalam imbasan ini kita boleh nampak rahim.”

Dia menunjuk pada satu bahagian kosong di skrin. “Tapi dalam kes awak,” doktor diam seketika, seolah-olah memilih perkataan yang paling lembut “rahim itu tidak terbentuk seperti biasa.”

Kata-kata itu kedengaran sayup di telinga Hannah.

“Ada satu keadaan perubatan yang dipanggil sindrom Mayer–Rokitansky–Küster–Hauser. Atau MRKH. Dalam keadaan ini, rahim tidak berkembang seperti biasa sejak lahir.”

Hannah memandang skrin ultrabunyi itu. Dia cuba mencari sesuatu yang sepatutnya ada. Tetapi skrin itu hanya memaparkan ruang kelabu yang kosong.

“Ovari awak normal,” kata doktor lagi. “Sebab itu hormon perempuan masih ada. Awak tetap melalui akil baligh seperti orang lain. Tetapi tanpa rahim, lapisan rahim tak terbentuk setiap bulan.”

Hannah terasa seperti sedang menunggu sesuatu. Sesuatu yang tidak akan datang.

Jadi haid tidak berlaku.

Sunyi.

Sejenak, hanya dengung pendingin hawa yang kedengaran.

Doktor menghela nafas panjang sebelum menyambung. “Dan kerana rahim diperlukan untuk kehamilan, awak tidak boleh hamil secara semula jadi.”

Hannah tidak benar-benar memahami konsep kehamilan sepenuhnya. Dia belum memikirkan perkahwinan. Belum memikirkan anak. Belum memikirkan masa depan sejauh itu. Tetapi dia memahami satu perkara dengan sangat jelas.

Sesuatu dalam dirinya, tiada.

***

Dalam perjalanan pulang, hujan turun lebat.

Pengelap cermin bergerak berulang-ulang di hadapan mereka.

Sapu.

Sapu.

Sapu.

Seolah-olah cuba membersihkan sesuatu yang tidak boleh dibersihkan.

Cik Illa memandu tanpa berkata apa-apa. Hannah memandang keluar tingkap. Bangunan, pokok, lampu jalan semuanya kabur di balik hujan seperti dunia yang tiba-tiba tidak mahu kelihatan jelas. Di atas ribanya, kedua-dua tangannya terletak diam.

Tangan yang kelihatan biasa.Tubuh yang kelihatan biasa.

Namun tiba-tiba terasa asing.

Kenapa tubuh aku pilih untuk tidak lengkap?

Pengelap cermin terus bergerak.

Sapu.

Sapu.

Sapu.

Tetapi hujan tetap kembali mengabur pandang.

***

Hannah berdiri di hadapan cermin bilik air asrama. Lampu pendarfluor putih membuatkan wajahnya kelihatan pucat.

Asrama sudah hampir sunyi, hanya ada bunyi kipas siling dari bilik sebelah dan langkah kaki yang kedengaran jauh di koridor.

Dia menyelak sedikit baju tidur dan memandang perutnya. Tiada beza. Tiada tanda luar biasa. Tubuhnya kelihatan seperti tubuh perempuan lain. Tetapi kini dia tahu sesuatu yang orang lain tidak tahu.

Dia menekan-nekan perut, seolah-olah cuba merasakan sesuatu di dalamnya. Tetapi yang terasa hanyalah degupan jantungnya sendiri.

Aku perempuan kan?

Cermin tidak menjawab. Air mata jatuh. Itulah malam pertama dia merasa malu terhadap tubuhnya sendiri. Dia sendiri tidak lagi pasti bagaimana hendak melihat dirinya.

***

Rahsia tidak pernah benar-benar sunyi di sekolah. Hannah terdengar namanya disebut di belakang dewan makan.

“Dia tak datang bulan.”

“Macam pelik.”

“Mak aku kata kalau tak normal macam tu susah nak kahwin.”

Perkataan kahwin terasa seperti hukuman. Hannah duduk di bangku paling hujung dan memandang nasi yang tidak disentuh.

Dia rasa seperti diperhatikan walaupun tiada siapa memandangnya secara langsung.

Remaja tidak selalu kejam dengan jeritan. Kadang-kadang mereka kejam dengan kasihan.

***

Kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan pagi itu sepatutnya berjalan seperti biasa. Carta sistem reproduktif wanita tergantung besar di papan putih. Rahim. Ovari. Salur Fallopio.

Guru menerangkan sambil menunjuk pada carta itu. “Rahim ialah tempat janin berkembang semasa kehamilan.”

Hannah memerhati. Gambar rahim itu berwarna merah jambu. Lengkap. Sempurna. Seperti sesuatu yang sepatutnya ada pada setiap perempuan. Dia mencatat.

Di belakang kelas, seorang pelajar lelaki berseloroh. “Kalau tak ada rahim, kira tak lengkaplah tu.” Beberapa pelajar ketawa kecil. Ketawa yang pendek. Tetapi cukup untuk sampai ke telinga Hannah.

Tangannya berhenti menulis. Tiba-tiba bilik darjah terasa terlalu sempit.

Sebelum dia sempat menahan dirinya, Hannah sudah berdiri. Kerusi kayu itu berdecit perlahan. Beberapa kepala berpaling.

“Lengkap tu siapa yang tentukan?” Suaranya tidak kuat. Tetapi cukup jelas untuk membuat kelas menjadi senyap.

Guru di hadapan kelas berhenti menerangkan.

“Kalau perempuan tak boleh lahirkan anak…” Hannah menelan liur “…dia hilang hak untuk dipanggil perempuan?”

Tiada siapa menjawab. Ketawa tadi hilang begitu sahaja.

Buat pertama kali, Hannah berdiri bukan untuk mempertahankan rahimnya. Tetapi untuk mempertahankan maruahnya.

***

Hannah menangis di bahu Cik Illa.

“Saya rasa kosong…” Suara itu hampir tidak kedengaran.

Cik Illa tidak memberi nasihat panjang. Dia hanya memeluk Hannah lama, seperti seseorang yang tahu sesetengah kesakitan tidak boleh dikecilkan dengan ayat yang muluk.

Tangannya mengusap rambut Hannah. “Dunia selalu ajar kita nilai perempuan melalui rahim.” Akhirnya dia berkata.“Tapi nilai manusia tak pernah terletak pada satu organ.”

Tangisan Hannah perlahan-lahan mereda. Bukan kerana sakitnya hilang. Tetapi dia  rasakan tidak lagi menanggungnya sendirian.

***

Di dewan kuliah yang sejuk, slaid anatomi sistem reproduktif wanita terpampang besar di skrin.

Pensyarah menerangkan slaid seterusnya.

“Sindrom Mayer–Rokitansky–Küster–Hauser.” Nama panjang itu pernah menghantui hidup Hannah. Dia memandang skrin dengan tenang.

“MRKH ialah keadaan kongenital yang jarang berlaku,” jelas pensyarah. “Rahim dan sebahagian faraj tidak terbentuk dengan sempurna sejak lahir. Namun ovari biasanya normal, sebab itu pesakit kelihatan seperti wanita lain dan melalui akil baligh biasa, cuma mereka tidak datang haid. Kebanyakan kes dikesan apabila remaja mengalami amenorea primer.”

Hannah mencatat.

MRKH. Amenorea primer.

Dulu istilah itu terasa seperti hukuman. Kini baginya fakta perubatan.

Selepas kelas, seorang pelajar perempuan menghampirinya di koridor.

“Saya baru tahu saya ada MRKH. Doktor kata rahim saya tak terbentuk. Saya tak akan datang haid.”

Si gadis menunduk. “Saya rasa macam… saya tak cukup.”

Hannah memandang gadis itu sembari menyentuh perut sendiri. Rahim memang tidak pernah ada, tetapi rasa kurang yang pernah menghantui sudah hilang kuasa. Dicapainya tangan gadis tersebut, diletakkan di perutnya.

“Tak cukup di mata siapa?” tanya Hannah lembut.

Gadis itu membalas pandang, jauh ke dalam matanya.


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.