Jawa Barat pintu masuk strategik syarikat Selangor ke pasaran Indonesia

11 Jul 2026, 4:00 AM
Jawa Barat pintu masuk strategik syarikat Selangor ke pasaran Indonesia
Jawa Barat pintu masuk strategik syarikat Selangor ke pasaran Indonesia
Jawa Barat pintu masuk strategik syarikat Selangor ke pasaran Indonesia

BANDUNG, 11 JULAI: Jawa Barat dikenal pasti sebagai destinasi strategik pertama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor yang ingin mengembangkan perniagaan ke luar Malaysia, memanfaatkan saiz pasaran yang besar serta persamaan kekuatan ekonomi antara kedua-dua wilayah.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato' Hasan Azhari Idris, berkata Jawa Barat dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS@ASEAN) 2026 kerana kedua-dua ekonomi mempunyai kelebihan yang saling melengkapi dan berpotensi membuka peluang lebih luas di peringkat serantau.

"Kami percaya Jawa Barat dan Selangor mempunyai profil ekonomi yang hampir sama. Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Kekuatan ini boleh digabungkan bagi mewujudkan kerjasama dan meneroka pasaran yang lebih besar," katanya kepada Media Selangor selepas berakhirnya SIBS@ASEAN 2026.

SIBS@ASEAN dianjurkan di luar negara buat julung kali bermula 9 hingga 10 Julai di Pullman Grand Central, Bandung, dengan penyertaan lebih 400 delegasi dari Malaysia dan Indonesia.

Hasan berkata antara objektif utama penganjuran SIBS@ASEAN di Bandung adalah untuk memberi pendedahan lebih luas kepada PKS dan GLC Selangor bagi meneroka pasaran serantau, bermula dengan Jawa Barat.

"Matlamat kami adalah untuk membuka peluang kepada PKS dan GLC Selangor meneroka pasaran di luar Malaysia. Sebagai permulaan, kami memilih Jawa Barat," katanya.

Untuk rekod, Malaysia merupakan antara pelabur asing terbesar di Indonesia dengan kedudukan keempat, selepas Singapura, Hong Kong dan China.

Hasan berkata Jawa Barat yang mempunyai kira-kira 55 juta penduduk menawarkan potensi pasaran pengguna yang besar, malah melebihi jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

Bagi memudahkan syarikat menembusi pasaran itu, program tahun ini menampilkan pameran yang memberi tumpuan kepada sektor pendidikan dan pelancongan kesihatan, manakala forum perniagaan mengetengahkan industri seperti aeroangkasa, automotif, elektrik dan elektronik, teknologi kreatif serta jentera.

Beliau berkata hari kedua program turut diisi dengan lawatan ke beberapa projek strategik melibatkan sektor tenaga boleh baharu, aeroangkasa, rel dan mobiliti serta pembangunan perumahan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai peluang pelaburan di Jawa Barat.

Menurut Hasan, kerjasama yang dibina di Jawa Barat juga boleh menjadi pintu masuk kepada syarikat Selangor untuk mengembangkan operasi ke seluruh pasaran Indonesia.

"Kami berharap syarikat yang kami bawa ke sini dapat memanfaatkan peluang ini untuk membina tapak di Jawa Barat. Sekurang-kurangnya mereka dapat membina rangkaian dan menjalinkan hubungan dengan rakan tempatan bagi meneroka peluang kerjasama.

"Apabila mereka berjaya bertapak di Jawa Barat, mereka boleh melangkah lebih jauh untuk meneroka pasaran di seluruh Indonesia," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.