BANDUNG, 9 JULAI: Kerajaan Selangor akan memperkukuh kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Jawa Barat menerusi program padanan perniagaan, kerjasama institusi serta perkongsian kepakaran bagi membantu syarikat menembusi pasaran Malaysia dan Indonesia.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pembangunan PKS kekal menjadi antara fokus utama Selangor dalam mempererat hubungan ekonomi dengan Indonesia.
Beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan institusi berkaitan PKS bagi memudah cara sesi padanan perniagaan serta mengukuhkan kerjasama rentas sempadan antara usahawan kedua-dua wilayah.
"Antara komponen utama kerjasama ini ialah mengadakan padanan perniagaan serta penyelarasan dengan institusi yang menyokong pembangunan PKS di Selangor dan Jawa Barat.
"PKS sudah tentu akan mendapat manfaat daripada ekosistem perniagaan yang sedang dibangunkan ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran edisi sulung Selangor International Business Summit (SIBS@ASEAN) Bandung di Hotel Pullman Bandung Grand Central, hari ini.
Amirudin berkata kerjasama itu turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi kepakaran dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan yang memberi manfaat bersama.
Menurutnya, hubungan lebih erat antara Selangor dan Jawa Barat akan membolehkan syarikat memanfaatkan gabungan pasaran Malaysia dan Indonesia, sekali gus membuka ruang pertumbuhan yang lebih besar.
Selain itu, beliau berkata Selangor dan Jawa Barat turut meneroka potensi kerjasama dalam ekonomi syariah, termasuk pembangunan industri serta perniagaan yang mematuhi prinsip syariah.
Katanya, inisiatif itu mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu di luar perdagangan konvensional dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua wilayah dalam sektor ekonomi Islam.
"Ini membuka satu lagi peluang untuk kita saling belajar, membina keupayaan baharu dan memperkukuh perdagangan.
"Kita mahu mengukuhkan aktiviti komersial sambil mewujudkan nilai tambah menerusi bidang kerjasama baharu," katanya.







