BANDUNG, 11 JULAI: Penganjuran sulung Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS)@ASEAN 2026 melabuhkan tirainya semalam dengan membuka lembaran baharu hubungan ekonomi antara Selangor dan Jawa Barat, selain memperkukuh komitmen kedua-dua wilayah untuk meneroka peluang pertumbuhan bersama.
Edisi antarabangsa pertama SIBS yang berlangsung di Bandung, Indonesia itu turut menyerlahkan aspirasi Selangor untuk muncul sebagai rakan strategik utama di rantau ASEAN melalui kerjasama dalam pelbagai sektor berimpak tinggi.
Bagi penganjur utama, Invest Selangor Berhad, penganjuran itu melepasi jangkaan apabila menerima sambutan memberangsangkan daripada syarikat dan pemain industri yang berminat meneroka peluang pelaburan serta kerjasama baharu bersama rakan serantau.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato' Hasan Azhari Idris, berkata sidang kemuncak selama dua hari itu berjaya menarik lebih 400 peserta serta menyaksikan pemeteraian enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Hasrat (LoI) yang dijangka menjadi asas kepada potensi pelaburan bernilai RM500 juta.

"Ini merupakan acara pertama yang kami anjurkan di Bandung dan juga edisi sulung SIBS@ASEAN.
"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 400 peserta, sekali gus melepasi jangkaan kami," katanya kepada Media Selangor selepas program itu berakhir.
Kejayaan penganjuran itu mendorong Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan hasrat memperluaskan SIBS@ASEAN ke lebih banyak bandar di rantau ini pada tahun-tahun akan datang, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform memperkasakan pelaburan dan kerjasama strategik serantau.
Ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan Khamis lalu, Amirudin berkata Selangor dan Jawa Barat perlu memperluas kerjasama melangkaui perdagangan dan pelaburan bagi memanfaatkan kekuatan kolektif ASEAN.
Beliau berkata keamanan, kestabilan dan warisan budaya yang dikongsi bersama memberi kelebihan daya saing kepada rantau ini ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.
Pandangan itu turut disokong Timbalan Gabenor Jawa Barat Erwan Setiawan yang menyifatkan SIBS@ASEAN sebagai peluang terbaik untuk memperkukuh kerjasama jangka panjang antara Selangor dan Jawa Barat merentasi pelbagai sektor.

Sementara itu, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata kerjasama strategik antara Selangor dan Jawa Barat dijangka mempercepat transformasi industri di kedua-dua wilayah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN.
Hasan berkata MoU dan LoI yang dimeterai sepanjang sidang kemuncak itu meliputi sektor strategik seperti pelancongan, pendidikan, pembangunan bakat dan reka bentuk litar bersepadu (integrated circuit, IC).
Enam MoU itu melibatkan Wanita Berdaya Selangor (WBS), Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia (BAPPENAS), ASEAN Future Workforce Council (AFWC), KADIN Jawa Barat, Tourism Selangor, Batik Air Bandung, Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia (ASITA), Universiti Selangor (UNISEL), Institut Teknologi Bandung (ITB), Malaysia Chamber of Commerce Indonesia (MCCI) serta Bank BJB.
LoI pula dimeterai antara GreatAsic Technology dan Indonesia Chip Design Collaborative Center (ICDeC).
Hasan berkata Invest Selangor tidak menetapkan sasaran khusus bagi penganjuran sulung SIBS@ASEAN, namun optimis program itu mampu menjana potensi nilai transaksi RM500 juta, walaupun kebanyakan rundingan masih di peringkat awal.
"Pada asasnya kami tidak menetapkan sasaran khusus kerana ini merupakan penganjuran SIBS pertama di luar Malaysia. Namun, jika mampu menjana potensi nilai transaksi sekitar RM500 juta, itu sudah dianggap satu pencapaian yang baik.
"Syarikat yang terlibat memerlukan masa untuk mengadakan perbincangan susulan dan kami menjangka mengambil beberapa bulan sebelum memperoleh anggaran nilai pelaburan yang lebih tepat," katanya.
Beliau berkata kebanyakan syarikat hanya bertemu bakal rakan strategik buat kali pertama sepanjang program itu, justeru perbincangan lanjut diperlukan sebelum sebarang nilai pelaburan dapat dimuktamadkan.
Hasan menambah syarikat yang berminat perlu memahami terlebih dahulu persekitaran pasaran, ekosistem perniagaan serta landskap kawal selia di Indonesia sebelum meneruskan kerjasama atau pelaburan.








