BANDUNG, 9 JULAI: Selangor dan Jawa Barat berpotensi menjadi pemacu kepada integrasi ekonomi ASEAN menerusi kerjasama lebih erat dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan serantau, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Berucap pada majlis pembukaan Selangor International Business Summit (SIBS@ASEAN) Bandung 2026, Amirudin berkata kedua-dua wilayah mempunyai kekuatan ekonomi yang saling melengkapi dan mampu menjadi pintu masuk kepada pasaran ASEAN.
Beliau berkata kerjasama antara Selangor dan Jawa Barat perlu diperkasakan bukan sahaja dalam aspek perdagangan dan pelaburan, malah meliputi keselamatan makanan, pembangunan industri serta perkongsian kepakaran bagi meningkatkan daya saing rantau ini.
Menurutnya, ketika ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik dan cabaran perdagangan, ASEAN mempunyai kelebihan tersendiri melalui keamanan, kestabilan politik dan hubungan budaya yang rapat.

"Ketika dunia berdepan ketidaktentuan di Eropah, Asia Barat dan beberapa rantau lain, kekuatan ASEAN terletak pada keamanan serta kestabilannya.
"Mungkin wujud sedikit perbezaan berkaitan sempadan atau warisan budaya, namun ia tidak sepatutnya memisahkan kita.
"Sebagai contoh, batik berasal dari Indonesia tetapi turut menjadi warisan bersama Malaysia. Kita ialah satu keluarga Nusantara dan identiti ini perlu menjadi kekuatan untuk membina masa depan bersama," katanya pada majlis di Hotel Pullman Bandung Grand Central, hari ini.
Amirudin berkata keamanan, kestabilan dan nilai budaya yang dikongsi bersama perlu dimanfaatkan untuk menarik lebih banyak pelaburan, mengembangkan perdagangan serta memperkukuh hubungan ekonomi antara negara anggota ASEAN.

"Keamanan, keselamatan, budaya dan sikap saling menghormati ialah aset ASEAN. Apabila digabungkan dengan kerjasama ekonomi yang lebih kukuh, ia mampu menjadikan rantau ini lebih berdaya saing dan menarik kepada pelabur," katanya.
Beliau turut menggesa negara anggota ASEAN mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar dengan membangunkan pasaran serantau yang dipacu oleh hampir 700 juta penduduk ASEAN.
Katanya, Selangor dan Jawa Barat boleh memainkan peranan sebagai peneraju kepada agenda itu.
"Saya percaya Jawa Barat dan Selangor mampu membuka lembaran baharu. Inilah yang dimaksudkan apabila kita mahu menjadi pintu masuk ke ASEAN.
"Kita perlu bergerak bersama, saling memperkukuh keupayaan dan membina ekonomi serantau yang lebih mampan," katanya.
Beliau berkata kerjasama ASEAN juga perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas dengan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, inovasi, keselamatan makanan dan pembangunan perniagaan.
Amirudin berkata Selangor bersedia memperluaskan kerjasama dengan Jawa Barat dalam sektor pelancongan, makanan, perkhidmatan dan industri lain yang berpotensi tinggi.
Menurutnya, hubungan yang lebih erat antara bandar seperti Bandung dan Petaling Jaya mampu membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan serta pertukaran kepakaran yang memberi manfaat kepada kedua-dua wilayah.







