JOHOR BAHRU, 10 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh anak Johor termasuk yang berada di perantauan supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, esok.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata pilihan raya negeri merupakan detik penting yang akan menentukan hala tuju masa depan negeri serta rakyat Johor
“Saya menyeru seluruh anak Johor, termasuk yang berada di perantauan supaya pulang dan menggunakan kuasa rakyat untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi negeri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata HARAPAN telah membuktikan keupayaan mentadbir Kerajaan MADANI menerusi pelaksanaan reformasi penting, peningkatan pelaburan serta penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan.
Beliau berkata kerajaan turut berusaha meningkatkan pendapatan rakyat, menyelesaikan pelbagai masalah dan projek yang sekian lama tertangguh, selain memulihkan imej Malaysia di persada antarabangsa.
“Semangat pembaharuan dan tadbir urus inilah yang akan kita bawa untuk mengangkat Johor ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Anwar turut memohon rakyat Johor memberikan kepercayaan kepada HARAPAN untuk memimpin negeri itu berlandaskan amanah, tata kelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang saksama kepada semua lapisan masyarakat.
Perdana Menteri berkata pilihan raya itu adalah peluang untuk menolak mereka yang mempertahankan pencuri wang rakyat, serta menolak politik yang muflis dari segi idea dan hanya bergantung kepada hasutan kebencian kaum dan agama demi meraih undi.
“Semoga Allah SWT memberkati Johor dan mengurniakan negeri ini kepimpinan yang amanah serta membuka lembaran baharu yang lebih makmur, adil dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Anwar turut menyampaikan seruan itu menerusi serangkap pantun:
“Nasi ambeng dijamah bersama,
Tanda kasih dalam jemaah,
Kejayaan negara sebutan dunia,
Bermula dengan jari yang memangkah.
Hari pengundian PRN Johor ke-16 berlangsung esok melibatkan kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.






