SHAH ALAM, 10 JULAI: Pembangunan “pipeline” rumah mampu milik di Selangor secara keseluruhan mencapai 257,779 unit membabitkan 494 projek sehingga 15 Jun lalu, melepasi sasaran yang ditetapkan, kata EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah.
Menurut beliau daripada jumlah itu, sebanyak 26,004 unit telah siap dibina, manakala 47,062 unit sedang dalam pembinaan dan 73,066 unit berada pada peringkat pelaksanaan fizikal.
“Baki 184,713 unit pula sedang melalui pelbagai proses perancangan dan kelulusan teknikal yang dilaksanakan secara berperingkat sebelum pembinaan dimulakan. Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran penyediaan 200,000 unit rumah mampu milik menjelang 31 Disember 2028.
“Jumlah ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan bekalan rumah mampu milik terus dipertingkat bagi memenuhi permintaan rakyat,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas isu kediaman siap dibina yang tidak terjual seperti dibangkitkan Naib Ketua Pemuda PAS Selangor Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, Borhan menjelaskan perkara itu perlu difahami secara tepat kerana statistik berkenaan merangkumi keseluruhan pasaran hartanah.
“Keadaan ini dipengaruhi pelbagai faktor termasuk harga, lokasi, jenis kediaman, kemampuan pembiayaan pembeli serta sentimen pasaran semasa.
“Justeru, statistik tersebut tidak boleh dijadikan ukuran tunggal untuk menilai kejayaan dasar rumah mampu milik Kerajaan Negeri,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Borhan berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) merekodkan 83,375 permohonan rumah mampu milik sehingga 15 Jun lalu.
“Daripada jumlah ini, seramai 24,398 pemohon telah menerima tawaran, manakala 38,627 masih berada dalam senarai menunggu dan 20,350 lagi menolak tawaran yang diberikan.
“Data ini membuktikan permintaan terhadap rumah mampu milik di Selangor masih tinggi dan Kerajaan Negeri akan terus menambah baik padanan antara penawaran dengan keperluan sebenar rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Faizzuddin mendakwa Selangor merekodkan 3,745 unit kediaman siap dibina tetapi masih gagal dijual, antara jumlah tertinggi di negara ini.
Beliau menambah sebanyak 186,231 unit atau 73.15 peratus masih berada di peringkat perancangan dan kelulusan teknikal, manakala 25,592 unit lagi masih dalam pembinaan.
“Keadaan ini menyebabkan ramai anak muda terus menyewa kerana sukar memiliki rumah sendiri akibat harga pasaran yang tinggi dan kelewatan projek rumah mampu milik disiapkan,” ujarnya lagi.







