Kes tatatertib JBPM turun kepada 15 setakat Jun hasil pengukuhan integriti

10 Jul 2026, 7:56 AM
Kes tatatertib JBPM turun kepada 15 setakat Jun hasil pengukuhan integriti

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kes tatatertib membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus menunjukkan trend penurunan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pengukuhan integriti, termasuk pemantauan terhadap balai yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Bomba Dato' Sri Ts Nor Hisham Mohammad berkata rekod jabatan menunjukkan kes tatatertib berkurangan kira-kira 25 peratus, daripada 43 kes pada 2024 kepada 36 kes pada 2025, manakala hanya 15 kes direkodkan setakat Jun tahun ini.

Menurutnya, hasil analisis aduan yang diterima, JBPM mengenal pasti 19 balai mempunyai trend aduan tinggi sebelum menghantar pasukan khas menjalankan audit pengurusan, kewangan dan pentadbiran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato' Sri Ts. Nor Hisham Mohammad menyampaikan ucapan perasmian program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGiAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Sehingga Jun tahun ini, kita hanya merekodkan 15 kes tatatertib yang dibawa ke Lembaga Tatatertib. Daripada jumlah itu, tiga anggota dibuang kerja, tujuh diberikan amaran, dua dikenakan lucut hak emolumen, tiga ditangguhkan pergerakan gaji, satu dibebaskan manakala tiga lagi kes ditutup kerana tiada asas kukuh untuk tindakan.

"Setiap aduan integriti yang diterima akan dianalisis dan disiasat. Kita juga menghantar pasukan khas ke 19 balai yang menerima aduan tertinggi dan selepas intervensi, trend aduan berjaya dikurangkan dengan ketara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2026 JBPM di Auditorium Dahlia dan Dewan Orkid, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato' Sri Ts. Nor Hisham Mohammad bersama tetamu jemputan sempena program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGiAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Nor Hisham berkata lapan kategori utama salah laku yang direkodkan ialah penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas, muflis, jenayah kekerasan, ingkar perintah, tidak jujur atau tidak bertanggungjawab, kesalahan syariah serta menjadi keldai akaun.

Menurutnya, kebanyakan kes melibatkan anggota lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun, manakala faktor pergaulan dikenal pasti antara penyumbang kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan segelintir anggota.

"Apabila kita mengesan lebih awal, kita tidak berkompromi. Kita terus menjalankan ujian saringan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Walaupun kebanyakan kes tidak sampai ke tahap serius, jika didapati positif, tindakan tegas akan diambil," katanya.

Penjawat Awam membaca ikrar Integriti sempena program Bicara Governans , Integriti dan Anti Rasuah (BiGiAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam usaha memperkukuh budaya integriti, beliau berkata JBPM melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penyertaan dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA), penganjuran Pertandingan Integriti, Governans dan Antirasuah (PIGA), pembangunan Sistem eAduan Integriti serta Sistem eLiabiliti bagi memantau keterhutangan serius dalam kalangan pegawai.

Selain itu, jabatan turut memperluas pendigitalan pengurusan operasi menerusi Sistem C4i (Command, Control, Communications, Computers and Intelligence).

Nor Hisham berkata pengukuhan kepimpinan turut menjadi fokus utama dengan penekanan kepada 336 ketua balai di seluruh negara bagi memperkasakan budaya integriti di peringkat akar umbi melibatkan kira-kira 17,000 anggota sepenuh masa dan sukarelawan.

"Penekanan kita ialah tanggungjawab, bukan sekadar jawatan. Ketua balai merupakan benteng pertama dalam menjaga nama baik jabatan, sebab itu program pengukuhan kepimpinan diberi perhatian sejak dua tahun lalu.

"Hari ini kita hidup dalam era kecerdasan buatan (AI). Namun dalam perkhidmatan awam, yang lebih penting daripada AI ialah Authentic Integrity.

"Teknologi boleh membantu kita bekerja dengan lebih pantas, tetapi hanya integriti yang memastikan kita sentiasa bekerja dengan betul," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.