Kes denggi Selangor terus meningkat, 21 kematian direkodkan

10 Jul 2026, 5:19 AM
Kes denggi Selangor terus meningkat, 21 kematian direkodkan

SHAH ALAM, 10 JULAI: Sebanyak 34 kematian akibat denggi direkodkan di seluruh negara setakat tahun ini, meningkat 78.9 peratus berbanding 19 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan Selangor merekodkan 21 kematian akibat denggi sehingga 9 Julai, meningkat berbanding lima kematian yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025.

“Analisis epidemiologi menunjukkan hampir 63.5 peratus daripada keseluruhan kes denggi tertumpu di Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya. Selangor merekodkan 19,313 kes, meningkat 43.2 peratus.

“Kuala Lumpur dan Putrajaya pula merekodkan 7,909 kes denggi, meningkat 83.8 peratus, dengan tiga kematian dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, sebanyak 42,848 kes denggi direkodkan di seluruh negara setakat 9 Julai, meningkat 34.8 peratus berbanding 31,790 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

KKM berkata peningkatan kes turut direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Perlis, Terengganu dan Labuan.

“Keadaan ini menunjukkan Lembah Klang masih menjadi kawasan utama penularan denggi dan memerlukan langkah kawalan yang lebih menyeluruh serta bersepadu.

“Walaupun beberapa negeri merekodkan penurunan kes berbanding tempoh sama tahun lalu, keadaan itu tidak seharusnya menyebabkan kita leka. Semua negeri perlu terus memperkukuh langkah pencegahan dan kawalan kerana situasi denggi boleh berubah dengan cepat bergantung kepada faktor epidemiologi, persekitaran dan cuaca,” katanya.

Menurut KKM, peningkatan kes denggi adalah selaras dengan corak epidemiologi penyakit itu yang lazimnya berlaku secara berkitar.

“Di kebanyakan negara endemik, peningkatan kes atau wabak besar boleh berlaku setiap tiga hingga lima tahun. Namun tempoh penularan dan skala wabak bergantung kepada faktor epidemiologi, persekitaran dan iklim setempat.

“Peningkatan berkala ini dipengaruhi beberapa faktor termasuk perubahan imuniti penduduk, perubahan dominasi serotip virus denggi serta keadaan cuaca seperti hujan, suhu dan kelembapan yang menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes.

“Faktor lain ialah pembangunan pesat, pergerakan penduduk, keadaan persekitaran, kewujudan takungan air serta keberkesanan dan kesinambungan aktiviti kawalan vektor, selain penglibatan aktif masyarakat menghapuskan tempat pembiakan Aedes,” menurut kenyataan itu.

KKM berkata usaha pencegahan dan kawalan denggi akan terus diperkukuh menerusi pendekatan Pengurusan Vektor Bersepadu (Integrated Vector Management, IVM) yang melibatkan pelbagai pihak.

“Kami menyeru semua pihak termasuk komuniti setempat, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, majikan, sektor swasta dan orang ramai supaya bersama-sama memperkukuh usaha pencegahan denggi dengan memastikan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan Aedes.

“Usaha ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong-royong secara berkala dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala denggi.

“Kementerian akan terus memantau situasi denggi dengan rapi serta mempergiat langkah pencegahan dan kawalan bagi mengurangkan penularan, mencegah komplikasi serta kematian, dan melindungi kesihatan awam,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.