BANDUNG, 10 JULAI: Kerajaan Selangor akan mendapatkan pandangan penduduk dan pihak berkepentingan sebelum memuktamadkan cadangan projek Kita Selangor Rail Line, bagi memastikan sistem pengangkutan rel itu memenuhi keperluan serta corak kehidupan masyarakat setempat.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata pendekatan itu diambil susulan lawatan delegasi Selangor ke PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), pengendali perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung, Whoosh.
Menurutnya, kejayaan sistem rel di Indonesia membuktikan sesuatu projek tidak boleh dibangunkan dengan hanya meniru model negara lain, sebaliknya perlu disesuaikan dengan keadaan tempatan.
"Apa yang menarik ialah mereka tidak sekadar meniru model sedia ada. Mereka mengambil kira keadaan tempatan, budaya dan gaya hidup masyarakat sebelum membangunkan sistem yang sesuai," katanya kepada Media Selangor selepas pelancaran edisi sulung Selangor International Business Summit (SIBS@ASEAN) di Hotel Pullman Bandung Grand Central, semalam.

Sze Han berkata Selangor berhasrat mengguna pakai pendekatan sama dengan memperluaskan sesi libat urus bersama rakyat dan pemain industri sebelum menentukan hala tuju projek rel berkenaan.
Beliau berkata Selangor dan koridor Jakarta-Bandung mempunyai corak pembangunan yang hampir sama, iaitu berkembang secara mendatar berbanding tertumpu di pusat bandar yang padat.
"Inilah yang perlu kita lakukan di Selangor, iaitu mengadakan lebih banyak libat urus bersama pihak berkepentingan dan orang ramai untuk memahami keperluan serta gaya hidup masyarakat sebelum diterjemahkan dalam kajian atau sistem yang bakal dibangunkan.
"Corak pembangunan Selangor hampir sama dengan Jakarta-Bandung. Pembangunan kita berkembang secara mendatar dan meliputi kawasan yang luas. Cabarannya ialah bagaimana menyediakan sistem pengangkutan awam yang mampu menyelesaikan isu ketersambungan 'first mile' dan 'last mile'," katanya.
Sze Han berkata kedua-dua wilayah turut berdepan cabaran yang sama dalam aspek ketersambungan pengangkutan, sekali gus membuka ruang untuk berkongsi pengalaman dan mencari penyelesaian terbaik.
"Mereka turut berdepan cabaran yang sama. Saya percaya kita boleh terus berkongsi pengalaman dan bekerjasama bagi mencari penyelesaian yang lebih berkesan mengikut keperluan masing-masing," katanya.

Mengulas perkembangan Kita Selangor Rail Line, Sze Han berkata projek itu masih berada pada peringkat awal dengan kerajaan negeri kini meneliti model pembiayaan dan pembangunan yang paling sesuai.
Beliau berkata Selangor telah menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi mengkaji aspek pembiayaan dan pembangunan projek tersebut.
"Kami sedang meneliti pelbagai pilihan bersama institusi kewangan dan syarikat berkaitan bagi mendapatkan kaedah pelaksanaan yang terbaik.
"Kerajaan Negeri juga menubuhkan dua jawatankuasa khas, masing-masing untuk mengkaji model pembiayaan dan model pembangunan supaya projek ini dapat dilaksanakan mengikut pendekatan yang paling sesuai untuk Selangor," katanya.






