Liga Komuniti Bangi gilap bakat bola sepak remaja

11 Jul 2026, 12:00 AM
Liga Komuniti Bangi gilap bakat bola sepak remaja
Liga Komuniti Bangi gilap bakat bola sepak remaja

BANGI, 11 JULAI: Bermula sebagai inisiatif komuniti, Liga Komuniti Bangi kini berkembang menjadi platform penting dalam pembangunan bola sepak akar umbi serta pembentukan sahsiah golongan belia.

Dianjurkan sepenuhnya oleh sukarelawan, liga itu menghimpunkan pemain muda, sekolah dan kelab bola sepak tempatan dalam suasana persaingan sihat, sekali gus menjadi medan mencungkil bakat baharu.

Kejohanan berkenaan tercetus daripada idea Ahli Majlis Zon 17 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Farhan Haziq Mohamed bersama Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan bagi menyediakan aktiviti bermanfaat kepada golongan remaja.

Farhan berkata, pengalaman luas Kelab Bola Sepak Junior Bangi (KBJB) dalam mengendalikan kejohanan bola sepak menjadi pemangkin kepada perkembangan liga itu, daripada hanya lapan pasukan ketika diperkenalkan kepada 10 pasukan yang bersaing pada masa ini.

Menurutnya, liga berkenaan bukan sekadar memberi peluang kepada belia beraksi di padang, malah mengeratkan hubungan komuniti serta melahirkan lebih ramai pemain berbakat.

Sokongan berterusan daripada Syahredzan pula membolehkan kejohanan itu diteruskan setiap tahun dengan pelbagai penambahbaikan demi manfaat komuniti setempat.

Ahli Majlis Zon 17 MPKj, Farhan Haziq Mohamed (dua kanan) hadir memeriahkan Kejohanan Liga Komuniti Bangi.

"Keunikan liga ini ialah penglibatan aktif sekolah menengah, khususnya bagi pemain bawah 17 tahun yang sering berdepan kekurangan peluang beraksi selepas melepasi peringkat akar umbi," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Liga Komuniti Bangi di Kompleks Sukan MPKj Bandar Baru Bangi pada 20 Jun lalu.

Beliau berkata kerjasama erat antara sekolah, guru dan komuniti membolehkan pembangunan pasukan dilaksanakan secara bersama menerusi latihan serta bimbingan jurulatih sukarelawan.

KBJB yang juga ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut membuka laluan kepada pemain berbakat untuk beraksi di peringkat lebih tinggi menerusi liga anjuran persatuan, kejohanan belia dan pertandingan institusi pengajian tinggi.

Malah, kawasan Kajang dan Bandar Baru Bangi mempunyai rekod melahirkan pemain yang pernah mewakili negara, sekali gus membuktikan potensi besar pembangunan bakat bola sepak di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, Farhan berharap lebih banyak padang awam dan kemudahan sukan dapat disediakan oleh Kerajaan Negeri serta pihak berkaitan bagi memenuhi keperluan komuniti yang semakin aktif.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pembangunan bola sepak di Bandar Baru Bangi terus berkembang seiring kecemerlangan akademik.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.