“Sharing Is Caring” di Pasar Percuma dan Raya BBBC

7 Mac 2026, 4:23 AM
“Sharing Is Caring” di Pasar Percuma dan Raya BBBC

Siapa yang tidak gemarkan barangan percuma? Tanpa tanda harga, tanpa transaksi dan tanpa urusan jual beli, suasana di Pasar Percuma Ramadan dan Raya jelas berbeza daripada kebiasaan. Yang ada hanyalah pemberian ikhlas daripada tangan ke tangan. Pelbagai barangan seperti pakaian, kasut, beg tangan dan peralatan dapur yang masih elok keadaannya tersedia untuk bertukar pemilik, memberi nafas baharu kepada setiap satu daripadanya.

Program yang berlangsung di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi ini saban tahun menjadi tumpuan komuniti setempat khususnya menjelang Syawal. Tahun ini menandakan penganjurannya memasuki tahun keempat dengan mengangkat konsep cukup ringkas, sesiapa sahaja boleh menyumbang dan pengunjung bebas mengambil mengikut keperluan masing-masing. Pendekatan ini bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga membuat persiapan Aidilfitri, malah menyemai budaya berkongsi dalam masyarakat.

Seawal jam 7.30 pagi, lokasi pasar sudah dipenuhi orang ramai, suasananya seakan-akan jualan but kereta, namun bezanya tiada wang yang bertukar tangan. Meja-meja disusun rapi dengan pelbagai barangan untuk diberi percuma. Tidak kurang juga pengunjung yang hadir membawa kotak dan beg besar berisi pakaian serta barangan untuk disumbangkan, menjadikan program ini medan dua hala antara pemberi dan penerima.

Jurufoto Media Selangor, Ahmad Zakki Jilan turut turun padang merakam suasana unik program anjuran sukarelawan Free Market Bandar Baru Bangi Community (BBBC) dengan kerjasama ahli majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 16.

Orang ramai memilih pakaian yang diberi secara percuma sempena Pasar Percuma Ramadan di Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat.

Kegembiraan jelas terpancar apabila pengunjung termasuk warga emas dan kanak-kanak pulang dengan beg berisi barangan sumbangan sempena Pasar Percuma di Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat. Inisiatif komuniti ini terus membantu meringankan beban menjelang musim perayaan.

Selain pakaian, buku turut disediakan dan diberi secara percuma kepada pengunjung sempena program Pasar Percuma Ramadan di Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat sekali gus menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan komuniti setempat.

Orang ramai membanjiri Pasar Percuma Ramadan di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi seawal pagi bagi memilih barangan keperluan yang disumbangkan. Program berkonsepkan perkongsian tanpa jual beli itu terus mendapat sambutan hangat komuniti setempat menjelang Aidilfitri.

Orang ramai meneliti dan memilih pakaian yang disumbangkan secara percuma sempena program Pasar Percuma Ramadan di Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat. Program berkonsepkan perkongsian komuniti itu terus mendapat sambutan hangat penduduk setempat.

Gelagat kanak-kanak mengangkat beg berisi pakaian mencuri perhatian ketika program Pasar Percuma Ramadan di Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat yang terus menjadi platform perkongsian rezeki dalam komuniti setempat.

Pengunjung mengambil peluang memilih pakaian yang disusun di atas tikar dan rak gantung ketika Pasar Percuma Ramadandi Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat sebagai usaha meringankan beban keluarga menjelang musim perayaan.

Nur Aiyra Naqeisha Mohd Nazir, 11 (kiri) dan adiknya Nur Aileen Nathania, 7, memilih pakaian ketika mengunjungi Pasar Percuma Ramadan di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat. Program berkonsepkan perkongsian tanpa jual beli itu memberi peluang orang ramai mendapatkan barangan secara percuma menjelang Aidilfitri.

Seorang wanita membantu memakaikan baju kepada kanak-kanak ketika memilih pakaian terpakai yang disumbangkan orang ramai sempena program Pasar Percuma di Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat. Inisiatif komuniti ini memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan barangan keperluan secara percuma sekali gus meringankan beban keluarga menjelang Syawal.

Orang ramai mengunjungi Pasar Percuma Ramadan untuk mencari pakaian sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat.

Ahmad Shahir Ismail, 42, dan isterinya Wan Nurasyikin Wan Mustaffa Kamel, 32, menyusun pakaian terpakai yang akan diberi secara percuma kepada pengunjung sempena program Pasar Percuma Ramadan di Bandar Baru Bangi Seksyen 7, Hulu Langat pada 8 Februari 2026. Usaha pasangan itu mencerminkan semangat sukarelawan dan budaya berkongsi dalam komuniti setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.