HULU LANGAT, 18 OKT: Program Rewang Komuniti Strata anjuran Kerajaan Negeri akan diteruskan tahun depan ke arah membina komuniti strata lebih harmoni serta berdaya huni, kata EXCO perumahan.
Datuk Borhan Aman Shah berkata sejak diberi amanah memegang portfolio itu pada 2023, antara pendekatan baharu diperkenal ialah pelaksanaan program berbentuk kemasyarakatan melalui aktiviti gotong-royong dan rewang.
Jelasnya ia bukan saja memupuk masyarakat yang saling bekerjasama tetapi menjadi penghubung rakyat dengan agensi kerajaan agar isu setempat dapat ditangani secara dekat menerusi pelbagai program yang disediakan termasuk pembukaan kaunter pameran agensi dan ziarah kasih rumah ke rumah.
“Sudah pasti saya akan teruskan (program rewang komuniti strata) kerana Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) juga telah beri jaminan kepada saya akan ada bajet tambahan untuk pastikan kita buat dalam skala yang lebih baik melibatkan semua agensi masyarakat dan sebagainya.

“Program ini kita juga ada ziarah kasih. Ini amalan yang biasa kita buat, akan bawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), zakat dan pemimpin setempat, untuk ziarah rumah, sekurang-kurangnya 10 rumah melihat apakah permasalahan mereka, kalau ada terlepas pandang bantuan dan sebagainya.
“Jadi Alhamdulillah, ini antara usaha kita cuba dekati masyarakat dan mereka menghargainya. Kita tidak mahu hanya melihat pemilikan rumah selepas itu lepaskan mereka begitu saja. Kita kena lihat juga daripada segi aktiviti mereka, prasarana dan logistik yang perlu diperbaiki dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Rewang Komuniti Strata di Pangsapuri Cempaka (Council Homes), Seksyen 16, Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.
Pada majlis itu turut disampaikan 105 bakul makanan kepada penduduk memerlukan selain sumbangan RM10,000 oleh Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd untuk tujuan pembaikan bumbung di Surau Ar-Riduan kawasan berkenaan.
Selain itu, pada majlis berkenaan Dana Strata Selangor (DSS) berjumlah RM954,436.22 turut disalurkan Kerajaan Negeri kepada pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi penyelesaian isu hakmilik strata di Flat Desa Serdang dan Apartment Flora Taman Impian Ehsan melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan dan DUN Sungai Ramal.

Lebih 3,000 penduduk menyertai program berkenaan dengan pelbagai pengisian termasuk pemeriksaan kesihatan secara percuma, kaunter maklumat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), aktiviti sukan rakyat selain demonstrasi memadam kebakaran.
Malam ini, program diteruskan dengan acara makan malam dengan juadah yang dihidangkan disediakan secara rewang oleh penduduk setempat melibatkan menu utama gulai kari daging umbut batang pisang, kambing Morocco, ayam goreng berempah dan acar jelatah.
