HULU LANGAT, 22 FEB: Bayangkan melangkah ke pasar yang beroperasi tanpa jual beli dan semua barangan adalah percuma. Inilah suasana Pasar Percuma Ramadan dan Raya di Bandar Baru Bangi, yang sudah empat tahun menjadi tumpuan komuniti menjelang Syawal.
Konsepnya ringkas, peserta hanya perlu memberi dan pengunjung datang mengambil secara percuma. Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah membudayakan sikap saling berkongsi dan mengurangkan pembaziran dalam komuniti.

Seawal 7.30 pagi, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi sudah dipenuhi pengunjung. Suasana meriah, mengingatkan kepada jualan but kereta, tetapi bezanya tiada harga diletakkan dan tiada urusan jual beli berlaku.
Sebahagian pengunjung membawa kotak dan beg besar berisi pakaian untuk disumbangkan, manakala yang lain datang dengan tangan kosong, berharap dapat melengkapkan persiapan raya anak-anak tanpa menambah perbelanjaan.
Ada juga yang sekadar ingin melihat barangan tersedia. Bagi sesetengah pengunjung, pakaian terpakai yang masih elok bukan pilihan terakhir, sebaliknya pilihan bijak dan praktikal.

Deretan meja disusun kemas, tikar dibentang atas jalan. Baju kurung, baju Melayu, jubah, kemeja dan pakaian kanak-kanak digantung dan dilipat rapi.
Turut tersedia telekung, sejadah, mainan, buku dan naskhah Yasin. Kanak-kanak teruja memilih baju raya, manakala ibu bapa meneliti saiz dan keadaan pakaian. Tiada sesi berebut kerana semua memahami prinsip asas pasar percuma iaitu beri jika ada, ambil jika perlu.

Kongsi rezeki
Program ini dianjurkan sukarelawan Free Market Bandar Baru Bangi Community (BBBC) dengan kerjasama ahli majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 16.
Ia membuka ruang kepada masyarakat untuk mengurangkan pembaziran dan memanfaatkan barangan masih berkualiti.
Penyelaras program, Khansa’ Zulkiflee, menjelaskan pasar ini diadakan tiga kali setahun: program kembali ke sekolah, menjelang Ramadan dan Aidilfitri, serta Aidiladha.

“Lebih 40 penyumbang terlibat setiap kali penganjuran. Mereka sumbang pakaian terpakai tetapi masih cantik dan berkualiti, kadangkala ada juga pakaian baharu.
“Sambutannya memang luar biasa. Bukan hanya penduduk Bangi tetapi Serdang, Seri Kembangan dan sekitar, malah ada penyumbang dari Pahang datang untuk sama-sama berkongsi rezeki,” katanya.
Seorang lagi penyelaras, Kelana Putra Muhamad, berkata pasar percuma semakin dikenali sebagai wadah yang memupuk budaya memberi dan menerima secara sihat dalam komuniti.

“Program ini menjadi tumpuan kerana bukan sahaja membantu persiapan raya, malah mengelakkan pembaziran barangan yang masih elok dan terbuka tanpa mengira latar belakang.
“Konsepnya mudah, datang, ucap salam, minta barang, ucap terima kasih. Sama konsep macam jualan but kereta tetapi percuma. Tiada jual beli, bayaran, pertukaran wang langsung,” jelasnya.
Ahli Majlis MPKj Zon 16, Mohd Bukhari Bachok, menekankan sokongan pihaknya terhadap inisiatif ini.

"Ia bukan soal susah atau senang, tetapi pendekatan lebih bertanggungjawab dalam menguruskan keperluan tanpa pembaziran.
“Kepada penyumbang, inilah cara mengamalkan konsep 3R iaitu mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula," katanya.
Guna selagi boleh
Sofea Irdina Aqtar Fariq Syahril, 23, berkongsi lapan kotak pakaian raya bersama komuniti taman perumahannya untuk diagihkan kepada pengunjung.

“Konsep seperti ini memang bagus, malah ia menggalakkan budaya 3R dengan memanfaatkan semula barangan yang masih elok,” katanya.
Bagi Norlinda Ishak, 54, sumbangan bukan hanya pakaian, tetapi juga naskhah Yasin dan buku, sesuai untuk bacaan Ramadan.

“Bangi ini bandar ilmu. Jadi selain pakaian dan sejadah, saya bawa buku juga. Boleh dijadikan bahan bacaan ketika Ramadan,” katanya.
Pengunjung Insyirah Ab Hamed, 32, ibu kepada empat anak, memilih pakaian terpakai kerana ia masih cantik dan sesuai dipakai.
“Saya memang selalu juga ke bundle. Bukan sebab tidak mampu, tapi rasa sayang kalau barang yang masih cantik terus dibuang.
“Program pasar percuma ini sangat bagus sebab kita bukan saja dapat berjimat untuk raya, tetapi dalam masa sama beri peluang kepada barang yang masih baik untuk terus dimanfaatkan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Luqman Abdul Rashid, 39, berkata pasar percuma ini membantu menjimatkan kos persiapan raya kerana barangan yang ditawarkan masih dalam keadaan baik.

“Barangan yang disumbang masih elok, tinggal pilih sahaja mana yang perlu. Macam hari ini saya ada dapat baju dan tudung anak,” katanya.





