KUALA LUMPUR, 15 OKT: Selangor perlu memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan sebagai sebahagian daripada strategi menarik pelaburan dan memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu perlu disokong dengan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan serta keupayaan menambah nilai dalam sektor berkaitan.
Menurutnya, syarikat multinasional (MNC) lazimnya memilih lokasi yang menawarkan kelebihan dari segi kos operasi dan persekitaran perniagaan yang kompetitif.
Justeru, katanya, Selangor perlu menyediakan program sokongan yang membolehkan PKS tempatan berkembang dan mengambil bahagian dalam rantaian bekalan syarikat besar.

“Kekuatan kita adalah dengan menyediakan program sokongan kepada PKS, bagi memastikan syarikat-syarikat berkenaan berkembang.
“Sebagai contoh, kita memperkenalkan sokongan 30 peratus kandungan tempatan yang kita kenakan kepada syarikat-syarikat pusat data yang akan bertapak di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi bual bicara “In Conversation with MB” di Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor (SPARK), di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pendekatan itu bukan berbentuk paksaan, sebaliknya memberikan tempoh tiga hingga lima tahun kepada syarikat terlibat untuk memenuhi keperluan kandungan tempatan berkenaan.
Beliau turut berkongsi contoh syarikat automotif China, Chery, yang menurutnya telah mencapai 60 peratus penglibatan tempatan.
“Jadi, ini merupakan contoh yang baik apabila kita kenakan satu polisi, menunjukkan potensi penglibatan orang tempatan yang menyahut cabaran membawa syarikat MNC tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin mengakui pembangunan ekosistem industri memerlukan usaha berterusan, khususnya dalam memperkukuh keupayaan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur.
“Pembangunan PKS kita bukan hanya persoalan tentang kapital, tetapi melibatkan kemampuan daripada segi sumber manusia juga,” katanya.







