SHAH ALAM, 9 JULAI: Sebanyak 5,430 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dibangunkan dalam radius 1.5 kilometer dari Laluan Transit Aliran Ringan (LRT3) bagi memperluas akses rakyat kepada kediaman berkualiti yang dihubungkan dengan sistem pengangkutan awam.
Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memaklumkan pembangunan itu melibatkan projek yang telah siap, sedang dalam pembinaan serta pembangunan akan datang di sepanjang jajaran LRT3.
"Harga jualan rumah mampu milik berkenaan ditawarkan antara RM170,000 hingga RM270,000 bagi kediaman Rumah Selangorku (RSKU) berkeluasan 800 hingga 1,000 kaki persegi.
"Manakala kediaman komersial mampu milik berharga antara RM230,000 hingga RM270,000 dengan keluasan 450 hingga 550 kaki persegi," katanya kepada Media Selangor.
Jelas LPHS, projek tersebut merangkumi pembangunan yang telah siap, sedang dalam pembinaan dan akan dibangunkan. Projek yang sedang dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya antara 2027 hingga 2028.
"Bagi projek yang sedang dalam pembinaan dan projek yang akan dibangunkan, pemohon yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui laman sesawang https://ehartanah.lphs.gov.my untuk memohon," katanya.
LPHS memaklumkan, sebahagian projek yang telah siap dibina juga akan ditawarkan di bawah Skim Smart Sewa yang diuruskan oleh anak syarikat LPHS.
Dalam pada itu, LPHS berharap pembangunan pesat di sepanjang jajaran LRT3 menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kawasan perbandaran mampan selain menggalakkan lebih banyak projek perumahan mampu milik dibangunkan di lokasi strategik berhampiran rangkaian pengangkutan awam.
"Inisiatif ini diyakini akan memperluaskan akses rakyat kepada kediaman yang berkualiti, berdaya huni dan berhubung dengan sistem pengangkutan awam yang cekap, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pembangunan berorientasikan transit (TOD)," katanya.
Berikut ialah senarai stesen LRT3 yang mempunyai projek Rumah Mampu Milik (RMM):
Stesen Projek Status Jenis RMM Unit
SA05: Damansara Idaman
Residensi Maya Ara, Siap, Pangsapuri Perkhdmatan Mampu Milik, 36
SA07: Glenmarie 2
Temasya Prisma, Dalam Pembinaan, Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik, 24
SA09: Kerjaya
RSKU Glenmarie, Cadangan, Rumah Selangorku, 284
SA10: Stadium Shah Alam
Residensi Dian II, Siap, Pangsapuri Perkhdmatan Mampu Milik 130
Alia @ Mori Park, Dalam Pembinaan, Pangsapuri Perkhdmatan Mampu Milik, 203
Residensi Bayu @ Mori Park, Dalam Pembinaan, Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik, 232
SA12: Dato' Menteri
Alinea Suites, Siap, SOHO Mampu Milik, 96
Linkar 52, Dalam Pembinaan, Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik, 74
Astrum Shah Alam, Dalam Pembinaan, Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik, 150
Duta Shah Alam, Dalam Pembinaan, Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik, 48
Sena Residence, Dalam Pembinaan, Pangsapuri Perkhidmatan & SOHO Mampu Milik, 702
SA15: Seksyen 7
Shah Alam Pangsapuri Serai Wangi, Siap, Rumah Mampu Milik, 104
Idaman Cahaya 1, Siap, Rumah Idaman MBI, 568
Idaman Cahaya 2, Siap, Rumah Idaman MBI, 872
SA24: Bandar Bukit Tinggi
Trifolis Apartment, Siap, Rumah Selangorku, 372
Ambang Residensi, Dalam Pembinaan, Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik, 93
SA26: Johan Setia
Azaria Apartment, Siap, Rumah Selangorku, 240
Asteria Apartment, Siap, Rumah Selangorku, 321
Aronia Apartment, Siap, Rumah Selangorku, 320
Pangsapuri Bayu Impian, Dalam Pembinaan, Rumah Selangorku, 561









