SHAH ALAM, 9 JULAI: Suspek kes tikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting mendakwa bertindak kerana tidak berpuas hati dan memendam perasaan selepas dipercayai dibuli.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar bagaimanapun berkata, hasil siasatan awal setakat ini tidak menemukan bukti yang menjurus kepada berlakunya kejadian buli seperti didakwa suspek.
Beliau berkata siasatan menyeluruh masih diteruskan dan polis meminta orang ramai memberi ruang kepada pegawai penyiasat melengkapkan siasatan.
"Siasatan secara menyeluruh masih lagi berlangsung dan belum selesai. Pihak polis meminta masyarakat memberi ruang kepada pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.
"Namun begitu hasil siasatan awal pada peringkat ini kita mendapati, alasan yang diberikan oleh suspek adalah rasa tidak puas hati, boleh dikatakan suspek memendam perasaan terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membuli suspek.
"Namun, hasil keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menjurus kepada berlaku kejadian buli," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontingen Selangor, di sini hari ini, lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut katanya, suspek juga dipercayai berdepan dengan isu tekanan dan mungkin masalah keluarga yang sedang dalam penilaian pakar kaunseling.
Shazeli berkata, polis juga menyiasat aspek penggunaan media sosial yang mungkin mempengaruhi minda dan kelakuan suspek.
"Kami juga melihat kepada aspek penggunaan media sosial yang dikatakan mempengaruhi minda dan tindakan, apa jenis media sosial tidak boleh didedahkan.
"Siasatan juga mendapati, suspek pernah terbabit dalam insiden terjun dari bangunan sekolah pada penghujung tahun lalu.
"Polis juga mengesahkan menerima satu kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan kategori Autisme di atas nama suspek dan dia sudah kira-kira lapan bulan tidak hadir ke sekolah dan menjalani 'home schooling' kerana masalah kesihatan," katanya.
Beliau menjelaskan, siasatan polis juga mendapati, suspek dipercayai menggunakan peluang memasuki kawasan sekolah ketika pintu pagar dibuka dan ia bukan kelemahan pihak sekolah.
Katanya, siasatan juga mendapati suspek membeli senjata tajam secara dalam talian.
"Senjata itu diletakkan di dalam beg galas dan dia masuk ke kawasan sekolah melalui pintu pagar yang terbuka," katanya.
Pada masa sama katanya, pelajar perempuan yang menjadi mangsa tikaman berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
"Jumlah kesan tikaman belum dapat diberikan, polis sedang tunggu laporan perubatan rasmi, kita tidak membuat teka-teki berapa jumlahnya," katanya.
Media sebelum ini melaporkan pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera akibat ditikam belasan kali di beberapa bahagian belakang badan, bahu dan muka di sebuah sekolah di Banting.
Susulan kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Suspek yang juga remaja perempuan memakai baju T hitam dan berseluar kotak merah hitam ketika kejadian dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui laluan pintu masuk utama.






