Projek penyuraian trafik di Pandan Indah siap September 2026

9 Jul 2026, 4:33 AM
Projek penyuraian trafik di Pandan Indah siap September 2026

SHAH ALAM, 9 JULAI: Pengguna jalan raya yang sering berdepan kesesakan di Pandan Indah dijangka menikmati perjalanan lebih lancar apabila projek penyuraian trafik bernilai RM9.3 juta di kawasan itu siap September ini.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan projek di persimpangan Jalan Pandan Utama dan Jalan Pandan Mewah kini mencapai kemajuan 73 peratus.

Menurutnya, perkembangan itu memberi harapan kepada penduduk dan pengguna laluan berkenaan yang selama ini berdepan aliran trafik perlahan terutama pada waktu puncak.

“Projek berkenaan membabitkan pembinaan dua jambatan baharu merentasi Sungai Kerayong selain kerja menaik taraf jalan bagi meningkatkan keupayaan laluan sedia ada.

“Kerja pembinaan jalan dan pemasangan baki empat rasuk jambatan dijangka bermula bulan ini sebelum projek disiapkan sepenuhnya pada September.

“Projek yang dimulakan pada 2024 itu sebelum ini dijadualkan siap tahun lalu tetapi mengalami kelewatan selepas penemuan kabel utiliti bawah tanah dan telekomunikasi di tapak pembinaan,” katanya menerusi kenyataan.

Kerja penurapan semula jalan di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti infrastruktur jalan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

MPAJ berkata tahap perkhidmatan trafik (LOS) di kawasan itu ketika ini berada pada Gred F, namun dijangka bertambah baik kepada Gred D selepas projek berkenaan siap.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan sebanyak RM13.5 juta diperuntukkan menerusi Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) 2026 bagi kerja menaik taraf infrastruktur jalan.

Peruntukan itu meliputi 11 projek penurapan semula jalan yang akan dilaksanakan oleh Infrasel Sdn Bhd dalam dua fasa.

Menurutnya, fasa pertama yang sedang dilaksanakan membabitkan lima lokasi iaitu Jalan Melawati 1 dan Jalan Melawati 3 di Taman Melawati serta Taman Pinggiran Ukay, Kampung Melayu Ampang dan Taman Kosas.

“Manakala, fasa kedua pula dijadual bermula Julai hingga Ogos melibatkan enam lokasi termasuk Taman Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Pandan Jaya dan Lembah Jaya Selatan.

“Selain kerja jalan, MPAJ turut melaksanakan enam projek penyelenggaraan pokok menerusi peruntukan RM5 juta di bawah MARRIS, manakala sembilan projek pembaikan saliran serta penambahbaikan lampu jalan sedang dirancang,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.