SHAH ALAM, 16 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita barangan serta mengarahkan pengosongan tapak penempatan sementara penjaja di Jalan Pandan Indah 1/25 dan kawasan berhampiran stesen minyak Shell di Pandan Indah, semalam.
MPAJ memaklumkan operasi oleh Jabatan Penguatkuasaan itu bermula kira-kira jam 9.21 pagi hasil pemerhatian lanjut serta pemantauan berkala di kawasan berkenaan.
“Tindakan diambil selepas penguatkuasa mendapati terdapat penjaja meninggalkan barangan perniagaan di lokasi berkenaan sehingga menjejaskan kebersihan serta penggunaan ruang awam oleh orang ramai,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Sehubungan itu, operasi sitaan dan pengosongan tapak dilaksanakan bagi memastikan kawasan terbabit kekal teratur, bersih dan selamat di samping membolehkan orang awam menggunakan ruang berkenaan dengan lebih selesa.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menegaskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan komuniti setempat.








