SHAH ALAM, 24 MEI: Seramai 200 penunggang motosikal terawal berpeluang menikmati petrol percuma di stesen minyak BHP Pandan Jaya, Pandan Selasa ini sempena sambutan Aidiladha.
Ahli Dewan Negeri Pandan Indah, Dato’ Ir Izham Hashim berkata program itu dianjurkan bagi membantu meringankan beban kewangan penunggang motosikal.
Menurutnya, program Jom Isi Minyak Motor Percuma “YB Belanja Minyak Aidiladha” melibatkan peruntukan RM2,000 dan akan berlangsung mulai jam 6 petang hingga selesai.
“Setiap bulan pusat khidmat memang sumbang minyak percuma. Kali ini kita jayakan sempena Aidiladha.
“Secara keseluruhan, DUN peruntuk RM24,000 setahun untuk jayakan program bulanan ini. Kita harap penunggang motosikal memanfaatkan peluang ini,” katanya kepada Media Selangor.
Izham yang juga EXCO infrastruktur berkata, program Jom Isi Minyak Motor Percuma “YB Belanja Minyak Aidiladha” akan bermula jam 6 petang hingga selesai.
Selain sumbangan berkenaan, sempena Aidiladha ini juga, DUN Pandan Indah turut menjayakan Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega semalam, bagi memudahkan penduduk mendapat keperluan perayaan.








