JKM tunggu laporan hospital sebelum bantu mangsa tikam di Banting

8 Jul 2026, 1:45 PM
JKM tunggu laporan hospital sebelum bantu mangsa tikam di Banting

SHAH ALAM, 8 JULAI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor sedang menunggu laporan penuh pelajar sekolah menengah di Banting yang menjadi mangsa tikam kelmarin.

Pengarahnya, Azmir Kassim berkata laporan penuh daripada pasukan Hospital Banting itu membolehkan pihaknya melaksana intervensi bersesuaian bagi meringankan beban trauma mangsa.

Menurutnya, JKM telah berjumpa dengan waris (bapa) dan menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Segera RM300 ketika sesi lawatan semalam.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Azmir Kassim. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Jabatan juga sedang menunggu laporan penuh daripada Hospital Banting bagi melaksanakan intervensi bersesuaian bagi meringankan beban trauma yang dihadapi mangsa.

“Lawatan ke rumah akan dilaksanakan setelah mangsa dibenarkan pulang dalam jangka masa dianggarkan seminggu lagi,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut memaklumkan khidmat kaunseling dan sebarang bentuk sokongan akan diberikan apabila mangsa pulih dan keluar dari hospital.

Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera selepas ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke Hospital Banting untuk menerima rawatan lanjut.

Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.