Kemahiran komunikasi, kepimpinan antara tumpuan IPT penuhi kehendak industri

12 Jul 2026, 1:00 AM
Kemahiran komunikasi, kepimpinan antara tumpuan IPT penuhi kehendak industri
Kemahiran komunikasi, kepimpinan antara tumpuan IPT penuhi kehendak industri
Kemahiran komunikasi, kepimpinan antara tumpuan IPT penuhi kehendak industri

SHAH ALAM, 10 JULAI: Institusi pengajian tinggi (IPT) kini bukan lagi sekadar menumpukan pembelajaran berasaskan teori, sebaliknya memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran insaniah bagi melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri.

Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Universiti Selangor (UNISEL), Ts Dr Norazean Shaari @ Md Noh berkata, majikan pada masa kini bukan sahaja menilai pencapaian akademik, malah turut melihat kebolehan graduan menguasai pelbagai kemahiran lain.

Menurut beliau, kemahiran seperti komunikasi, kepimpinan, membuat keputusan serta kebolehan menyelesaikan masalah menjadi antara nilai tambah yang semakin diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

"Mereka memerlukan tambah nilai lain iaitu kemahiran insaniah seperti berkomunikasi, membuat keputusan, menjadi pemimpin dan semua elemen itu kita terapkan dalam proses pembelajaran kita.

"Majikan bukan hanya nak graduan yang atas kertas dapat kelas pertama tapi bila temu duga tak boleh nak komunikasi dan bila diberi masalah tak boleh selesaikan," katanya.

Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Universiti Selangor (UNISEL), Ts Dr Norazean Shaari @ Md Noh (kanan) dan Ketua Pusat Korporat Perkhidmatan Industri dan Kebolehpasaran (CISEC) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Zalina Ismail (tengah) ketika Bicara Semasa di Media Selangor pada 2 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa bertajuk 'TVET atau universiti, mana pilihan terbaik?' terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Tambah Norazean, pelajar turut diterapkan dengan kemahiran penyelesaian masalah kompleks, berfikir secara kreatif serta kerja berpasukan yang menjadi antara keperluan majikan.

Menurutnya, tanggapan bahawa universiti hanya menumpukan pembelajaran teori tidak lagi tepat kerana semua kemahiran berkenaan diterapkan dan dinilai sepanjang tempoh pengajian.

"Kemahiran TVET penting. Di UNISEL sendiri kami juga sedang membangunkan program yang lebih praktikal untuk memberi peluang kepada pelajar," katanya.

Norazean berkata, universiti turut memperkukuh kerjasama dengan industri bagi menyediakan graduan yang kompetitif.

"Semua program kita mempunyai panel penasihat industri yang kita akan panggil setiap tahun untuk berbincang tentang program yang kita jalankan sekarang ini, adakah ia relevan dengan industri ataupun perlu dibuat penambahbaikan.

Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Universiti Selangor (UNISEL), Ts Dr Norazean Shaari @ Md Noh (kiri) dan Ketua Pusat Korporat Perkhidmatan Industri dan Kebolehpasaran (CISEC) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Zalina Ismail (tiga, kanan) ketika Bicara Semasa di Media Selangor pada 2 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Selain daripada latihan industri yang memang kebanyakan program diwajibkan untuk pelajar, kita juga membuat lawatan industri untuk kita beri pendedahan tentang situasi dan masalah sebenar dalam industri," ujarnya.

Beliau berkata, pendedahan kepada situasi sebenar di industri termasuk pembelajaran berasaskan projek turut membantu melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan sebelum memasuki alam pekerjaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.