Ahli TAWAS lepasan SPM ditawar kursus pemasangan solar percuma, jaminan peluang kerja

9 Jul 2026, 3:00 AM
Ahli TAWAS lepasan SPM ditawar kursus pemasangan solar percuma, jaminan peluang kerja
Ahli TAWAS lepasan SPM ditawar kursus pemasangan solar percuma, jaminan peluang kerja

SHAH ALAM, 9 JULAI: Ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini berpeluang mengikuti kursus pemasangan solar secara percuma dengan jaminan penempatan kerja selepas tamat latihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei berkata, peluang itu ditawarkan menerusi kerjasama dengan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) yang melaksanakan program berkenaan bersama Yayasan Khazanah.

Beliau berkata, inisiatif itu disasarkan kepada lepasan SPM, khususnya ahli TAWAS yang telah mencapai usia 18 tahun.

“Jadi dalam program jelajah di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, kita bawa sekali SHRDC untuk buka kaunter semasa jelajah dan mereka boleh kongsi mengenai peluang ini.

“Saya difahamkan, tahun ini mereka sasarkan mungkin lebih kurang 200 atau 300 remaja untuk dilatih dengan jaminan penempatan kerja dalam bidang pemasangan solar.

"Peserta yang layak akan mengikuti latihan secara percuma dan selepas tamat kursus akan ditempatkan terus ke dalam pekerjaan, tertakluk kepada syarikat yang mengambil mereka," katanya kepada Media Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pei Nei berkata program latihan itu telah bermula dengan pengambilan peserta dibuat secara berperingkat dengan sasaran antara 200 hingga 300 belia tahun ini.

“Jadi mana-mana ahli TAWAS yang berminat boleh hubungi dan kita akan salurkan kepada pihak berkaitan. Ini khususnya untuk mereka yang sudah berusia 18 tahun, sesuailah ambil peluang ini ke arah kemahiran TVET,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin, berkata Agenda Ekonomi Hijau Selangor 2025-2035 (SAGE) menetapkan sektor tenaga sebagai antara pemacu ekonomi dan sumber hasil baharu negeri, selain mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Secara keseluruhan, usaha itu katanya merangkumi peningkatan bekalan tenaga bersih, pengurangan penggunaan tenaga serta perubahan corak penggunaan tenaga dan ekonomi.

Ia termasuk memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan sisa kepada tenaga (WTE), selain menaik taraf infrastruktur serta sistem grid bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi untuk industri serta pengguna.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.