SHAH ALAM, 7 Julai: Lebih 1,300 peluang pekerjaan bakal diwujudkan di Hulu Selangor dengan 80 peratus daripadanya dijangka diisi penduduk tempatan, khususnya dalam sektor pekerjaan mahir.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata peluang itu susulan perjanjian usahasama dimeterai antara Berjaya Property Bhd dan firma dari China, Wanli Tire Co Ltd bagi membangunkan sebuah kilang pembuatan tayar automotif di daerah berkenaan.
“Ada yang bertanya mengapa kami membawa pelaburan besar ke daerah di luar bandar. Jawapan kami ialah pembangunan di Selangor tidak dikhaskan untuk pusat bandar sahaja.
“Sama ada anda tinggal di bandar atau di kampung, negeri ini akan terus maju bersama anda,” katanya yang turut hadir menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Sze Han berkata pembinaan kilang itu bukan sekadar menawarkan peluang pekerjaan, malah mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab serantau bagi industri komponen automotif.
Jelasnya, tindakan proaktif Kerajaan Negeri berjaya merealisasikan pelaburan berkenaan dalam tempoh yang singkat, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dirasai masyarakat setempat.
“Pelaburan mesti sampai. Begitu juga dengan faedahnya, dalam pekerjaan tempatan, perniagaan tempatan dan rantaian bekalan tempatan. Bagi penduduk Hulu Selangor, ini hanyalah permulaan,” katanya.
Sebelum ini, Sze Han dilaporkan berkata Hulu Selangor bakal menerima pelaburan baharu melebihi RM1.6 bilion menerusi dua projek berimpak tinggi yang dijangka memperkukuh pembangunan ekonomi daerah itu.
Menurutnya, pelaburan berkenaan membabitkan pembinaan kilang kedua luar negara milik pengeluar tayar dari China, Wanli Tire serta projek pembuatan bahan untuk bateri litium oleh XTC New Energy.







