16.91 peratus pekerja alami gangguan psikososial di tempat kerja

7 Jul 2026, 4:06 AM
16.91 peratus pekerja alami gangguan psikososial di tempat kerja

SHAH ALAM, 7 Julai: Kira-kira 16.91 peratus pekerja yang menjalani saringan menerusi Program Pencegahan Penyakit Pekerjaan Kebangsaan (NODiP) berkemungkinan mengalami gangguan psikososial berkaitan pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata dapatan itu diperoleh menerusi kajian berskala besar membabitkan 100,000 pekerja daripada tujuh sektor industri yang dijalankan sepanjang 2023 hingga 2025.

Menurutnya, kajian itu menilai pelbagai risiko psikososial di tempat kerja, termasuk beban kerja berlebihan, kadar kerja yang tinggi serta tekanan masa yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental pekerja.

“Perubahan landskap pekerjaan masa kini bukan sahaja membabitkan tekanan akibat penggunaan teknologi digital atau kecerdasan buatan (AI), malah turut melibatkan budaya kerja, pengurusan beban tugas, hubungan industri serta risiko psikososial.

“Keadaan ini boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental dan fizikal pekerja, malah jika berbangkit boleh dikategorikan sebagai penyakit pekerjaan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad, berhubung anggaran kerugian produktiviti negara akibat keresahan dan tekanan mental di tempat kerja serta dasar kerajaan bagi melindungi kesejahteraan mental pekerja.

Ramanan berkata dapatan kajian itu menyediakan data empirikal bagi membantu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merangka strategi pencegahan yang lebih berkesan.

Katanya, kementerian melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) terus memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi penguatkuasaan undang-undang, pembangunan garis panduan serta pelaksanaan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026-2030 (OSHMP30).

Selain itu, katanya, kementerian turut membangunkan kompetensi Orang Terlatih Psikososial (PTP), menyediakan modul latihan khusus serta melaksanakan program promosi dan advokasi di seluruh negara.

Menurut beliau, langkah berkenaan bertujuan membantu majikan mengurus risiko psikososial secara sistematik, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan kondusif.

“Kerajaan melalui KESUMA kekal komited memperkukuh pengurusan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan mental pekerja menerusi pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu.

“Inisiatif ini penting bagi meningkatkan kesejahteraan mental, produktiviti serta kualiti hidup pekerja secara berterusan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.