SHAH ALAM: Belanjawan 2027 dijangka membawa pengumuman positif berkaitan gaji, berdasarkan bayangan diberikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Bagaimanapun, beliau enggan memperincikan perkara itu dan menyerahkan pengumuman berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan belanjawan nanti.
“Memang ada berita yang bagus. Kita biar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang umumkan.
“Memang saya lihat negara akan lebih maju kali ini. Perkembangan yang akan dibawa adalah kepada tahap kita nak capai ‘first-world standing’.
“Kita bagi peluang kepada belanjawan kali ini untuk sesuatu yang betul-betul bagus yang akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) ke-17 di Putrajaya, hari ini.
Ketika ditanya lanjut mengenai kemungkinan khabar gembira itu berkaitan kenaikan gaji, Ramanan sekali lagi enggan mendedahkan butiran lanjut.
“Tak boleh banyak, nanti saya kena marah. Nak ‘hint’ (petunjuk)? Nak naik gaji?” katanya.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini.







