SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerajaan memutuskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri selepas meneliti pelbagai pandangan yang dikemukakan orang ramai berhubung pelaksanaan skim berkenaan.
Menurutnya, pendekatan baharu itu memberi ruang kepada pekerja tempatan untuk menentukan sendiri sama ada mahu menyertai skim tersebut mengikut keperluan dan pertimbangan masing-masing.
"Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan secara sukarela akan diumumkan PERKESO dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan caruman Skim LINDUNG 24 Jam bagi pekerja asing kekal diwajibkan dan akan diteruskan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Walaupun penyertaan pekerja tempatan kini bersifat sukarela, beliau berkata, skim itu masih merupakan inisiatif penting yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.
"Perlindungan sosial kepada seluruh tenaga kerja di Malaysia kekal menjadi keutamaan PERKESO sebagai agensi naungan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)," katanya.
Beliau turut memaklumkan KESUMA akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim itu menjelang penghujung tahun bagi memastikan ia terus relevan dan mampan.
"Ia termasuk aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan serta kemampuan dana bagi memastikan skim ini kekal mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.
"Sekiranya perlu, hasil penelitian itu akan dibentangkan di Parlimen bagi cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4)," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata PERKESO akan terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial selain memastikan rakyat memperoleh maklumat yang jelas dan tepat mengenai manfaat skim itu supaya dapat membuat keputusan yang terbaik.
LINDUNG 24 Jam adalah skim baharu di bawah PERKESO yang dikuatkuasakan untuk memberi perlindungan kepada pekerja sekiranya berlaku kemalangan tidak berkaitan dengan kerja, termasuk di luar waktu bekerja.
Sebelum ini, perlindungan PERKESO lebih tertumpu kepada kemalangan ketika bekerja atau perjalanan pergi dan balik kerja.
INFO Lindung 24 Jam
Fasa 1 (dua tahun pertama): 0.75 peratus
Fasa 2 (tiga tahun berikutnya): 1.00 peratus
Fasa 3 (tahun keenam dan seterusnya): 1.25 peratus







