JOHOR BAHRU, 7 JULAI: Sebanyak 64 pusat mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dibuka tepat pada 8 pagi ini bagi membolehkan 24,751 anggota pasukan keselamatan serta pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan akan melaksanakan tanggungjawab mereka di 11 pusat mengundi ditetapkan.
Baki 12,710 pemilih terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama dengan pasangan pula dijadualkan menunaikan hak mereka di 53 pusat mengundi.
Kesemua pusat pengundian berkenaan akan ditutup secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan SPR bermula dari 12 tengah hari ini hingga 6 petang.
Tinjauan Bernama mendapati keadaan cuaca di kebanyakan kawasan dilaporkan cerah hari ini.
Sabtu ini, kira-kira 2.7 juta pengundi biasa bakal menentukan mandat di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.







