SHAH ALAM, 6 JULAI: Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadual berlangsung Ogos depan akan diadakan sama ada di Dataran Kemerdekaan Shah Alam atau Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam.
EXCO Pembangunan Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata keputusan muktamad pemilihan venue itu akan dibuat dalam masa terdekat selepas penelitian menyeluruh dibuat, khususnya melibatkan aspek kos memandangkan penganjuran menggunakan peruntukan terhad.

“(Pihak) Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menyelaras acara kemuncak perasmian. Mereka akan menilai dari segi kos dan ini merupakan strategi untuk mengelakkan negeri menanggung komitmen kewangan yang tinggi.
“Biar kita guna kos minimum tetapi beri impak besar kepada masyarakat, selain majlis ini selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mahukan penjimatan. Kos perasmian dan penutup akan ditanggung oleh anak syarikat Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Penaja dan Bapa Angkat SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 di sini, hari ini.

Mohd Najwan berkata persiapan Selangor selaku tuan rumah temasya dwitahunan itu kini telah mencapai lebih 90 peratus, dengan fokus utama ketika ini tertumpu kepada pemilihan venue perasmian dan penutup.
“Dari segi infrastruktur dan teknikal, semuanya sudah selesai. Walaupun kita bergerak dalam ruang lingkup perbelanjaan terhad, namun untuk pembangunan sukan kita tidak akan berkompromi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan lebih 900 atlet telah disenarai pendek bagi mewakili Selangor dalam usaha merebut 469 pingat yang dipertandingkan.
SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini membabitkan 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 10 September dengan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan.
Temasya sukan terbesar negara itu akan disertai semua kontinjen negeri, selain Brunei Darussalam yang telah disahkan sebagai kontinjen jemputan, menjadikan keseluruhan 15 kontinjen bertanding.







