Bantuan Yayasan MBI beri sinar baharu kepada penerima diuji musibah

6 Jul 2026, 2:00 PM
Bantuan Yayasan MBI beri sinar baharu kepada penerima diuji musibah
Bantuan Yayasan MBI beri sinar baharu kepada penerima diuji musibah
Bantuan Yayasan MBI beri sinar baharu kepada penerima diuji musibah

SHAH ALAM, 6 JULAI: Bantuan disalurkan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bukan sekadar meringankan beban kewangan penerima, malah menjadi suntikan semangat untuk mereka meneruskan kehidupan selepas berdepan pelbagai ujian.

Komitmen itu diteruskan menerusi penyaluran sumbangan tunai berjumlah RM33,000 kepada 13 penerima yang terdiri daripada mangsa bencana, pesakit, atlet serta individu yang berdepan kesukaran hidup.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan berkenaan disalurkan mengikut keperluan setiap pemohon selepas melalui proses penilaian, dengan nilai sumbangan antara RM1,000 hingga RM3,000.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas Majlis Serahan Sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR.

Bagi salah seorang penerima, P Alexander, 39, bantuan diterima amat bermakna selepas hidupnya berubah sekelip mata akibat kemalangan langgar lari ketika bekerja sebagai penghantar barang pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan beliau mengalami patah rusuk selain berdepan masalah jantung yang memerlukan rawatan berterusan dengan kos ubat-ubatan melebihi RM400 hampir setiap bulan.

“Ketika itu dunia seolah-olah gelap, saya langsung tidak boleh bekerja. Isteri pula kini hanya buat kerja sambilan sebagai guru tuisyen kerana perlu menjaga saya,” katanya kepada Media Selangor.

Isterinya, Pavithra Dewi, 34, berkata mereka reda dengan dugaan yang ditempuhi termasuk kehilangan dua cahaya mata sebelum ini, selain bersyukur suaminya masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor beramah mesra bersama P Alexander, 39, dan isterinya, Pavithra Dewi, 34, ketika Majlis Serahan Sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Terima kasih kepada Yayasan MBI kerana membantu kami. Bantuan ini benar-benar meringankan beban dan memberi semangat untuk kami terus kuat menghadapi ujian,” katanya.

Seorang lagi penerima, Saparwan Sajat, 77, meluahkan rasa syukur selepas menerima bantuan susulan kebakaran yang memusnahkan kira-kira 30 peratus kediamannya di Seksyen 19, Shah Alam, Ramadan lalu.

“Rumah memang rosak akibat kebakaran tetapi Alhamdulillah semua selamat. Saya bersyukur menerima bantuan ini dan berterima kasih kepada Yayasan MBI serta semua yang membantu kami,” katanya.

Saparwan Sajat, 77, ditemui media selepas Majlis Serahan Sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, atlet sukan permotoran cilik, Aydeen Hafreez Abdul Hafiz, 10, berkata sumbangan diterima akan digunakan bagi membeli kelengkapan perlumbaan untuk terus mengembangkan bakatnya yang pernah membawanya mewakili negara ke Thailand.

“Terima kasih Yayasan MBI, bantuan diterima ini menjadi pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama negara dalam arena sukan permotoran yang sangat saya minati ini,” katanya.

Aydeen Hafreez Abdul Hafiz, 10, ditemui media selepas Majlis Serahan Sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.