SHAH ALAM, 6 JULAI: Pasangan suami isteri yang berdepan masalah mendapatkan zuriat disaran memanfaatkan subsidi rawatan kesuburan yang disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), ketika Selangor berdepan kadar kesuburan yang semakin rendah.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata usaha itu penting bagi membantu lebih ramai pasangan merealisasikan impian memiliki cahaya mata, selain menyokong agenda Kerajaan Negeri memperkukuh institusi keluarga dan memastikan pertumbuhan penduduk yang mampan.
Beliau pada masa sama mengingatkan pasangan muda agar tidak membudayakan pilihan untuk tidak mempunyai anak semata-mata atas faktor gaya hidup kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW, malah memberi kesan kepada pembangunan negeri dalam jangka panjang.

"Anak bukan sahaja aset kepada sesebuah keluarga, malah merupakan pelaburan sosial dan ekonomi kepada negara.
"Nilai ekonomi sesebuah negeri juga bergantung kepada kekuatan populasinya. Jika kadar populasi terus menguncup, kadar kesuburan juga akan terus menurun," katanya selepas merasmikan Program Libat Urus Taska dan Pusat Jagaan Tidak Berdaftar Negeri Selangor 2026.

Anfaal berkata Selangor kini antara empat negeri yang merekodkan kadar kesuburan terendah di negara ini apabila kadar kesuburan hanya 1.6, iaitu jauh di bawah kadar penggantian penduduk sebanyak 2.1.
Menurutnya, pelbagai faktor menyumbang kepada trend itu termasuk tekanan kos sara hidup, kecenderungan berkahwin pada usia lebih lewat, keutamaan membina kerjaya sebelum berkeluarga serta pilihan mempunyai bilangan anak yang lebih kecil berbanding generasi terdahulu.
"Justeru, Kerajaan Negeri memberi tumpuan membantu pasangan yang berdepan kekangan ekonomi melalui pelbagai bentuk sokongan, termasuk inisiatif penjagaan anak seperti program MamaKerja yang akan dilancarkan pada Ogos ini," katanya.
Dalam pada itu, lebih ramai pasangan yang berdepan masalah kesuburan kini berpeluang mendapatkan rawatan pada kos lebih rendah apabila LPPKN menyediakan subsidi sehingga RM5,000 menerusi Program Bantuan Rawatan Kesuburan (BuAI).

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi LPPKN, Juwairiya Zulkifli berkata setiap pasangan yang layak turut menerima dua kitaran rawatan serta saringan kesuburan secara percuma menerusi inisiatif tersebut.
Menurutnya, program itu memberi tumpuan kepada wanita daripada golongan berpendapatan rendah (B40) berusia 35 tahun ke bawah bagi meningkatkan peluang mereka mendapatkan rawatan kesuburan.






