PETALING JAYA, 1 JULAI: Lebih ramai pasangan yang berdepan masalah kesuburan berpeluang mendapatkan rawatan dengan kos lebih rendah apabila Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan subsidi sehingga RM5,000 menerusi Program Bantuan Rawatan Kesuburan (BuAI).
Timbalan Pengerusinya, Juwairiya Zulkifli berkata setiap pasangan yang layak turut menerima dua kitaran rawatan serta saringan kesuburan secara percuma menerusi inisiatif berkenaan.
Menurutnya, program itu memberi tumpuan kepada wanita daripada golongan berpendapatan rendah (B40) berusia 35 tahun dan ke bawah bagi meningkatkan peluang mendapatkan rawatan kesuburan.

“Program ini memberi tumpuan kepada wanita daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang berusia 35 tahun dan ke bawah bagi meningkatkan peluang mendapatkan rawatan kesuburan.
“Pasangan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta menjalani saringan awal di Klinik Nur Sejahtera di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Bapa di Dewan Sivik MBPJ, hari ini.
Beliau berkata selain rangkaian Klinik Nur Sejahtera, LPPKN turut menyediakan tiga klinik subfertiliti di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang menawarkan rawatan khusus kepada pasangan yang memerlukan.

Dalam pada itu, Juwairiya berkata Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) negara kini berada pada purata 1.6 anak bagi setiap wanita, masih di bawah paras penggantian minimum iaitu 2.1 anak.
Katanya, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada trend itu ialah pasangan berkahwin pada usia lebih lewat selain memilih untuk tidak mempunyai zuriat.
“Jadi LPPKN, sebagai agensi kependudukan dan institusi keluarga, antara yang kita usahakan adalah pemberian subsidi di bawah inisiatif BuAI untuk pasangan yang ingin mendapatkan zuriat tetapi mempunyai masalah dari sudut kewangan,” katanya.







