90 peratus belia Malaysia masih mahu kahwin, miliki anak

14 Jul 2026, 7:43 AM
90 peratus belia Malaysia masih mahu kahwin, miliki anak

KUALA LUMPUR: Persepsi bahawa generasi muda semakin tidak berminat berkahwin dan memiliki anak disifatkan tidak tepat kerana majoriti masih menyimpan hasrat membina keluarga, namun berdepan kekangan termasuk tekanan ekonomi dan kos sara hidup.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata dapatan UNFPA Demographic Futures Survey 2026 membuktikan golongan muda masih meletakkan institusi keluarga sebagai aspirasi utama.

Beliau berkata kajian membabitkan lebih 108,000 responden berusia 18 hingga 39 tahun di 73 negara itu mendapati 90.1 peratus masih berhasrat berkahwin, manakala kira-kira 90 peratus mahu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak, lapor Berita Harian.

"Kadang-kala orang fikir anak muda sekarang tidak mahu berkahwin dan tidak mahu mempunyai anak. Hakikatnya mereka mahu, tetapi mereka berdepan pelbagai masalah.

"Masalahnya ialah ekosistem. Kos sara hidup tinggi, pekerjaan perlu dijaga, soal siapa yang akan menjaga anak dan pelbagai lagi cabaran menyebabkan mereka menangguhkan hasrat itu," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Sambutan itu turut diserikan dengan pembentangan 20 hasil Geran Penyelidikan LPPKN 2025, pameran Research-to-Development (R2D) serta pelancaran Buku Kompilasi Hasil Geran Penyelidikan LPPKN 2025.

Rohani berkata, dapatan itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan perlu terus memperkukuh dasar serta sokongan kepada golongan muda melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, perumahan mampu milik, kemudahan penjagaan anak dan persekitaran kerja yang lebih mesra keluarga.

Beliau berkata usaha itu memerlukan pendekatan menyeluruh membabitkan semua kementerian dan agensi, bukan hanya LPPKN.

"Apabila kita bercakap mengenai ekonomi, ia bukan tanggungjawab satu kementerian sahaja. Ini membabitkan keseluruhan kerajaan kerana kita mahu menjadikan kehidupan golongan muda lebih stabil supaya mereka yakin untuk berkahwin dan membina keluarga," katanya.

Beliau berkata, di Malaysia, Kaji Selidik Persepsi Awam LPPKN sempena Hari Penduduk Sedunia 2025 yang membabitkan 3,625 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas turut menunjukkan trend sama apabila 90.9 peratus responden bujang berhasrat berkahwin, manakala 91.1 peratus mahu memiliki anak pada masa depan.

Katanya, kajian itu turut mendapati 17.6 peratus responden yang sudah berkahwin tidak dapat mencapai bilangan anak yang diinginkan akibat faktor kewangan.

Menurutnya, kekangan itu dipengaruhi oleh kestabilan pekerjaan, peningkatan kos sara hidup, jadual kerja yang padat serta cabaran mendapatkan penjagaan anak.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.