ad

Selangor bakal jadi lokasi pertama Pusat Subfertiliti Negara, jangka operasi 2030

26 Ogos 2025, 1:30 PM
Selangor bakal jadi lokasi pertama Pusat Subfertiliti Negara, jangka operasi 2030

SHAH ALAM, 26 OGOS: Selangor bakal menjadi lokasi pertama Pusat Subfertiliti Negara yang dijangka siap pada 2030, menawarkan perkhidmatan kepada pasangan dari seluruh negara.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata Kerajaan Negeri akan memberi sokongan dari segi kebenaran merancang melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memudahkan pembinaan pusat itu.

"Pusat subfertiliti ini dibangunkan di Seksyen 17 Shah Alam dan akan menjadi kemudahan bukan sahaja untuk rakyat Selangor, tetapi juga pasangan dari seluruh negara, khususnya di zon tengah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Juwairiya Zulkifli, menjelaskan pusat tersebut adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, berbeza daripada tiga klinik kesuburan sedia ada bawah LPPKN di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

"Kos yang ditawarkan adalah lebih rendah daripada harga pasaran sebagai inisiatif kerajaan. Kami menyokong dan ingin membantu pasangan yang memerlukan rawatan kesuburan, sebab itu rawatan ini diberikan pada kadar subsidi.

"Pusat ini berfungsi seperti hospital dengan kapasiti lebih besar, khidmat pakar serta kemudahan teknologi perubatan terkini. Ia dijangka akan mengurangkan masa menunggu rawatan yang kini panjang akibat ruang dan tenaga pakar terhad," katanya.

Juwairiya berkata, projek dengan kos RM171 juta itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan dijangka beroperasi pada tahun 2030.

Pada masa sama, beliau memaklumkan LPPKN kini menyediakan subsidi rawatan inseminasi (IUI) bernilai RM4,000 melibatkan 3,000 pasangan setahun.

"Setakat ini, 35 ibu berjaya melahirkan anak melalui program berkenaan. Kadar kejayaan itu hampir sama seperti hospital swasta tetapi dengan harga lebih murah," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.