Task Force Selangor kesan 454 pusat jagaan, 447 taska tidak berdaftar

6 Jul 2026, 8:23 AM
Task Force Selangor kesan 454 pusat jagaan, 447 taska tidak berdaftar
Task Force Selangor kesan 454 pusat jagaan, 447 taska tidak berdaftar
Task Force Selangor kesan 454 pusat jagaan, 447 taska tidak berdaftar

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kerajaan Selangor menerusi Task Force Taska dan Pusat Jagaan berjaya mengesan sebanyak 454 pusat jagaan dan 447 taman asuhan kanak-kanak (taska) yang beroperasi tanpa pendaftaran bagi tempoh 2023 hingga 2025.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata daripada jumlah pusat jagaan tidak berdaftar, 273 telah menghentikan operasi, 152 berjaya didaftarkan, manakala 27 dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Bagi taska pula, beliau berkata daripada 447 premis yang dikenal pasti beroperasi tanpa pendaftaran, 325 telah menghentikan operasi, 108 berjaya didaftarkan, sementara 13 lagi dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Pendekatan Task Force bukan semata-mata berteraskan penguatkuasaan atau hukuman, sebaliknya memberi penekanan kepada usaha mendekati pengusaha bagi membantu mereka mematuhi keperluan pendaftaran.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor turut melaksanakan tiga sesi libat urus bersama pengusaha taska dan pusat jagaan sepanjang tempoh 2024 hingga 2026 bagi mendapatkan maklum balas secara langsung.

“Hasil sesi libat urus mendapati kebanyakan pengusaha berdepan kesukaran untuk mendaftar disebabkan isu teknikal melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), prosedur permohonan yang rumit serta karenah birokrasi,” katanya.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap pada Program Libat Urus Taska dan Pusat Jagaan Tidak Berdaftar Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Libat Urus Taska dan Pusat Jagaan Tidak Berdaftar Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Pada masa sama, Anfaal memberitahu sehingga Mei 2026, JKM Selangor merekodkan sebanyak 996 taska dan 819 pusat jagaan yang berdaftar bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

“Daripada jumlah tersebut, 29 taska di tempat kerja telah diwujudkan oleh agensi kerajaan.

“Sebanyak 97 permohonan pendaftaran pusat jagaan berjaya diproses dengan hanya lima permohonan ditolak kerana gagal memenuhi syarat kritikal dalam tempoh sama.

“Bagi pendaftaran taska pula, 159 permohonan telah diproses dan hanya satu permohonan tidak diluluskan,” ujarnya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.