KLANG, 6 JULAI: Peniaga jersi bola sepak menjangkakan jualan meningkat berganda sepanjang Piala Dunia FIFA 2026 apabila permintaan terhadap jersi pasukan semakin rancak khususnya Portugal dan Argentina.
Pemilik Arscha Allspace, Muhammad Ariff Mohd Alias berkata kejohanan yang berlangsung setiap empat tahun itu sentiasa memberi impak besar kepada jualan kerana penyokong mula mendapatkan jersi pasukan kegemaran lebih awal.
Menurut beliau, ketika ini jersi Portugal dan Argentina menjadi antara pilihan utama pelanggan selain kebanyakan pembelian dibuat secara dalam talian berbanding pelanggan hadir ke kedai.
“Permintaan juga dipengaruhi pemain kerana ramai mahu mendapatkan jersi pemain yang dijangka beraksi buat kali terakhir di Piala Dunia.

“Selain menyokong pasukan, ramai pembeli kini memilih jersi berdasarkan reka bentuk yang menarik dan unik,” katanya ketika ditemui.
Muhammad Ariff berkata perniagaan yang diusahakan hampir dua tahun itu turut menarik pelanggan dari luar Selangor, termasuk Negeri Sembilan selepas mereka melihat koleksi jersi dipaparkan menerusi Instagram.
Beliau berkata sambutan itu menunjukkan media sosial menjadi antara medium penting dalam menarik pelanggan serta memperluaskan pasaran perniagaan.

Sementara itu, pengunjung Adam Haris Sahandri Abdullah berkata dia mula menyokong England sejak Piala Dunia 2018 dan menganggap jersi bola sepak sebagai identiti setiap penyokong.
Menurutnya, setiap kali Piala Dunia, lebih ramai individu termasuk mereka yang sebelum ini kurang mengikuti bola sepak akan membeli jersi pasukan kegemaran masing-masing.
Seorang lagi peminat, Aidil Afiq Abdul Rafar berkata dia memilih jersi authentic kerana menawarkan kualiti lebih baik berbanding versi lain.

Katanya, Piala Dunia sentiasa meningkatkan permintaan terhadap jersi kerana orang ramai menantikan rekaan baharu yang diperkenalkan oleh setiap negara bertanding.









