Seminggu selepas tirai Piala Dunia FIFA 2026 dibuka di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico, kejohanan terbesar bola sepak itu sudah pun menghadirkan pelbagai cerita menarik sama ada di dalam mahupun di luar padang.
Ketika kontroversi membabitkan harga tiket dan cabaran logistik merentasi tiga negara, perdebatan mengenai pelaksanaan 'hydration break' turut menjadi perbualan hangat sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak.
Di luar padang, Iran antara pasukan yang paling banyak mendapat perhatian apabila berdepan pelbagai cabaran termasuk urusan visa, perjalanan rentas sempadan serta kontroversi sambutan gol yang disalah tafsir sebagai isyarat pistol mencetuskan perdebatan media antarabangsa.
Aksi di atas padang pula tidak menghampakan apabila 75 gol dihasilkan dalam 24 perlawanan pusingan pertama, purata 3.13 gol setiap aksi dengan beberapa jaringan menarik pemain bintang menjadi antara topik hangat dibincangkan peminat bola sepak di seluruh dunia.
Dalam tempoh tujuh hari pertama kejohanan itu juga menyaksikan tiga kad merah dilayangkan yang kesemuanya pada perlawanan pembukaan selain sembilan keputusan seri yang melibatkan pasukan pilihan.
Pada masa sama, tumpuan peminat terarah kepada Lionel Messi, Kylian Mbappe, Harry Kane dan Erling Haaland yang mula mempamerkan sentuhan berbisa.

Manakala Cristiano Ronaldo turut menjadi tumpuan susulan prestasi hambar ketika Portugal diikat Republik Demokratik Congo sehingga mencetuskan kritikan peminat bola sepak.
Selain itu, pelbagai gelagat penyokong yang mewarnai suasana kejohanan, termasuk budaya penyokong Jepun mengutip sampah selepas perlawanan dan kemunculan penyokong Norway berpakaian ala Viking berjaya mencuri tumpuan.
Media Selangor merangkumkan antara kontroversi, kejutan dan fakta menarik mewarnai sepanjang 24 perlawanan pusingan pertama Piala Dunia FIFA 2026.
'Hydration break' terus dipersoal
Pelaksanaan 'hydration break' terus menjadi bahan perdebatan apabila sebahagian penyokong mempersoalkan keperluannya dalam beberapa perlawanan yang berlangsung dalam cuaca sederhana selain dilihat sebagai helah untuk memberi laluan kepada iklan penaja.
Namun FIFA mempertahankan langkah itu sebagai aspek penting dalam menjaga kebajikan pemain.
Harga tiket jadi rungutan
Tiket yang menggunakan sistem harga dinamik dan kos perjalanan antara tiga negara tuan rumah turut menjadi rungutan sebahagian penyokong.
Puluhan ahli Kongres AS menggesa badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), supaya menurunkan harga tiket.
Tiga kad merah hari pembukaan
Drama bermula seawal hari pertama kejohanan apabila tiga kad merah dilayangkan dalam aksi pembukaan.
Pengadil turut jadi perhatian
Aksi pembukaan turut dicemari kontroversi apabila pegawai dan pemain Afrika Selatan mempersoalkan keputusan kad merah yang dilayangkan pengadil dari Brazil Wilton Pereira Sampaio.
Mereka mendakwa berlaku masalah komunikasi kerana arahan dan penjelasan yang diberikan menggunakan loghat yang sukar difahami.
Iran terus jadi perhatian
Selain aksi di padang, Iran berdepan pelbagai cabaran luar padang termasuk isu visa dan perjalanan yang membabitkan pegawai mereka dihalang masuk selain tidak mempunyai masa mencukupi untuk pemulihan berikutan perlu segera keluar daripada AS.
Selain itu, sambutan gol seolah-olah pistol oleh pemain sayap kiri Mohammad Mohebi turut mencetuskan kontroversi serta perdebatan dalam media antarabangsa.
75 gol dalam 24 perlawanan
Minggu pertama kejohanan menyaksikan 75 gol dijaringkan dalam 24 perlawanan, bersamaan purata 3.13 gol setiap aksi sekali gus membuktikan peminat tidak ketandusan hiburan sepanjang pusingan pembukaan.

Hari Seri
Perlawanan pada 16 Jun mencipta sejarah tersendiri apabila kesemua empat perlawanan yang berlangsung berakhir dengan keputusan seri.
Kejadian yang disifatkan media antarabangsa sebagai “Historic Day of Draws” itu dilaporkan kali pertama berlaku dalam tempoh 68 tahun membabitkan pertembungan Belgium 1-1 Mesir, Arab Saudi 1-1 Uruguay, Iran 2-2 New Zealand dan Portugal 1-1 Republik Demokratik Congo.
Jerman paling garang
Jerman mencatat kemenangan terbesar setakat ini apabila membelasah Curacao 7-1. Perlawanan itu turut menjadi aksi dengan jumlah jaringan tertinggi dalam pusingan pertama.
Aksi sarat hiburan
Selain Jerman, Sweden menewaskan Tunisia 5-1 manakala England mengatasi Croatia 4-2 dalam dua lagi perlawanan yang sarat dengan jaringan dan aksi menyerang.

Messi cipta hat-trick
Lionel Messi mencuri perhatian apabila meledak hat-trick pertama dalam sejarah penyertaannya di Piala Dunia ketika membantu Argentina menewaskan Algeria 3-0. Jaringan itu turut menyamakan rekod 16 gol Piala Dunia milik Miroslav Klose.
Beliau juga menjadi pemain tertua menjaringkan hat-trick dalam sejarah Piala Dunia pada usia 38 tahun, sekali gus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Cristiano Ronaldo.
Pemain bintang menyinar
Selain Messi, bintang lain seperti Mbappe, Kane dan Haaland tidak mengambil masa lama untuk meninggalkan impak.
Keempat-empat pemain itu terus menjadi antara nama paling banyak dibicarakan sepanjang minggu pertama kejohanan selepas masing-masing menyumbat gol untuk pasukan masing-masing.
Ronaldo dikritik
Jika Messi, Kane, Mbappe dan Haaland dipuji, Ronaldo pula berdepan kritikan selepas Portugal sekadar seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo.
Prestasi penyerang veteran berusia 41 tahun itu menjadi topik hangat dalam media antarabangsa selain seorang lagi pemain bintang yang juga agak tenggelam iaitu kapten Mesir Mohamed Salah.

Gergasi tercicir mata
Beberapa pasukan pilihan gagal memulakan kempen dengan kemenangan apabila Brazil diikat Maghribi 1-1, Belgium seri 1-1 dengan Mesir, Portugal seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo dan Sepanyol terikat tanpa jaringan dengan Cape Verde.
Wira Cape Verde
Keputusan seri tanpa jaringan antara Cape Verde dan Sepanyol menjadi antara kejutan terbesar minggu pertama kejohanan.
Vozinha muncul watak utama perlawanan apabila penjaga gol berusia 40 tahun itu melakukan tujuh penyelamatan penting sebelum dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Jepun terus jadi contoh
Penyokong Jepun sekali lagi mencuri perhatian apabila mengutip sampah dan membersihkan kawasan tempat duduk selepas perlawanan.

Viking Norway meriahkan suasana
Penyokong Norway pula mencuri perhatian dengan pakaian tradisional Viking yang memenuhi stadium sekali gus menambah warna-warni pesta bola sepak tertinggi dunia itu.
Minggu pertama Piala Dunia 2026 membuktikan perhatian peminat bukan hanya tertumpu kepada aksi di atas padang, malah turut melibatkan pelbagai isu dan kontroversi yang mewarnai penganjuran kejohanan terbesar bola sepak dunia itu.
Dengan 75 gol sudah terhasil, beberapa keputusan mengejut direkodkan dan bintang utama mula menunjukkan sentuhan sebenar, baki saingan dijangka terus menawarkan lebih banyak drama serta cerita menarik untuk diikuti jutaan peminat di seluruh dunia.











