SHAH ALAM, 6 JUN: Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumum sebagai penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat menerusi kerjasama antara Kerajaan MADANI dan sektor swasta bagi memastikan seluruh rakyat dapat menikmati kejohanan berprestij itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.
Menurutnya, siaran kejohanan itu akan disediakan menerusi pelbagai platform termasuk saluran Free-to-Air melalui MYTV serta platform penstriman OTT RTMKlik dan Unifi TV.
“Liputan menyeluruh melibatkan kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV.
"RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda bagi memberi lebih pilihan kepada peminat bola sepak tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata program Grandstand turut diterbitkan dari Angkasapuri dengan penyampaian utama dalam Bahasa Melayu serta sebahagiannya dalam Bahasa Inggeris.
Selain itu, katanya perkembangan terkini berkaitan kejohanan berkenaan juga akan dikongsikan menerusi program Selamat Pagi Malaysia.
"Acara tontonan umum akan dianjurkan di beberapa lokasi terpilih bagi meningkatkan keterlibatan peminat sepanjang kejohanan berlangsung.
“Beberapa penaja utama bersama telah dikenal pasti dan sedang dimuktamadkan serta akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi RTMKlik menerusi Google Play atau Apple Store bagi mengikuti liputan kejohanan itu nanti.
Piala Dunia kali ini akan menjadi edisi terbesar dalam sejarah dengan 48 pasukan, berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai.








