Piala Dunia 2026 pentas terakhir Cristiano Ronaldo

6 Jul 2026, 2:03 AM
Piala Dunia 2026 pentas terakhir  Cristiano Ronaldo
Piala Dunia 2026 pentas terakhir  Cristiano Ronaldo

ARLINGTON, 6 JULAI: Bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo mengesahkan Piala Dunia 2026 menjadi penampilan terakhirnya bersama skuad kebangsaan Portugal.

Pengumuman itu dibuat penyerang legenda berusia 41 tahun itu menjelang aksi pusingan 16 terakhir menentang Sepanyol.

Ronaldo berkata beliau mahu menikmati sepenuhnya kejohanan berkenaan yang disifatkan sebagai penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.

"Ya, ini adalah Piala Dunia terakhir saya. Mari kita turun ke padang dan menikmatinya," katanya.

Beliau yang kini beraksi dalam Piala Dunia keenam sejak membuat penampilan antarabangsa pada 2003 berkata faktor usia menjadi antara sebab utama keputusan tersebut.

Ronaldo dijangka berusia 45 tahun menjelang edisi Piala Dunia berikutnya, sekali gus mahu memberikan tumpuan penuh untuk memburu kejuaraan bersama Portugal pada kejohanan kali ini.

Bagaimanapun, bekas bintang Manchester United dan Real Madrid yang kini menyarung jersi Al-Nassr itu belum menetapkan tarikh persaraan daripada bola sepak profesional.

Mengenai masa depannya, Ronaldo menegaskan keputusan untuk bersara hanya akan dibuat mengikut kehendaknya sendiri.

"Saya akan bersara apabila saya mahu, bukan apabila anda (media) mahu. Sama ada saya bermain atau berada di bangku simpanan, pengaruh saya tetap sama," katanya lapor Berita Harian.

Mengulas kritikan terhadap usianya, Ronaldo berkata beliau sudah lali dengan pelbagai pandangan negatif sepanjang lebih dua dekad kariernya.

"Sudah 23 tahun orang cuba 'menjatuhkan' saya... tetapi mereka tahu mereka hanya membuang masa. Mereka boleh terus mencuba, tetapi ia tidak berbaloi. Saya sudah biasa dengan perkara itu."

Beliau turut mengakui bukan lagi berada pada prestasi terbaik seperti dahulu, namun percaya masih mampu membantu Portugal mencapai sasaran untuk mara lebih jauh dalam kejohanan.

"Saya bukan lagi pemain seperti dahulu, tetapi saya masih mampu menjaringkan gol. Jika saya tidak menjaringkan gol, rakan sepasukan lain akan melakukannya. Misi utama kami adalah untuk mara ke pusingan seterusnya, bukan untuk saya menjaringkan gol peribadi," tegasnya.

Sepanjang kejohanan kali ini, Ronaldo menjaringkan tiga gol, termasuk satu menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Croatia di pusingan 32 dan dua lagi ketika Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 pada peringkat kumpulan.

Sepanjang karier antarabangsanya, beliau merekodkan 232 penampilan bersama Portugal dengan 146 gol serta membantu negaranya menjuarai EURO 2016 dan dua gelaran UEFA Nations League.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.