Sepanyol rai kejuaraan Piala Dunia dengan perarakan di Madrid

20 Jul 2026, 8:41 AM
Sepanyol rai kejuaraan Piala Dunia dengan perarakan di Madrid

MADRID, 20 JULAI: Ribuan penyokong dijangka membanjiri Madrid apabila skuad kebangsaan Sepanyol meraikan kejayaan menjuarai Piala Dunia sebaik pulang ke tanah air pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pasukan yang diketuai kapten Rodri dijadual tiba di Lapangan Terbang Madrid pada 12.50 tengah hari (1050 GMT).

Majlis sambutan di Istana Diraja yang dihoskan oleh Raja Felipe VI dijadual berlangsung pada sebelah petang sebelum pasukan itu meraikan kejayaan bersama ratusan ribu penyokong yang dijangka memenuhi ibu negara menerusi perarakan menaiki bas tanpa bumbung.

Kemuncak sambutan akan berlangsung di Dataran Cibeles, dengan pertunjukan khas dijadual bermula pada 6 petang, manakala pasukan dijangka tiba di lokasi itu pada 9 malam.

"Kami benar-benar tidak sabar untuk pulang ke Sepanyol. Ramai yang tidak dapat berada di sini dan kami mahu meraikannya bersama semua orang. Saya rasa kami memang layak menikmati satu sambutan yang hebat," kata pemain pertahanan Marc Cucurella.

Sepanyol menjuarai Piala Dunia lelaki buat kali kedua pada Ahad di Amerika Syarikat (AS) hasil jaringan Ferran Torres pada masa tambahan ketika menewaskan Argentina 1-0.

Keluarga diraja Sepanyol turut berada di stadium di New Jersey bagi menyaksikan perlawanan akhir itu, begitu juga Perdana Menteri Pedro Sanchez yang kemudian memuat naik hantaran di platform X berbunyi: "Kita ialah juara dunia. Pasukan kebangsaan kita sungguh hebat. Terima kasih, pasukan."

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.