Sepanyol juara Piala Dunia 2026, Torres muncul wira tundukkan Argentina

20 Jul 2026, 12:21 AM
Sepanyol juara Piala Dunia 2026, Torres muncul wira tundukkan Argentina

SHAH ALAM, 20 JULAI: Sepanyol merangkul kejuaraan Piala Dunia 2026 selepas menewaskan penyandang juara, Argentina, 1-0 menerusi masa tambahan dalam aksi final di Stadium MetLife, New Jersey, Amerika Syarikat, pada Ahad.

Kemenangan skuad La Roja ditentukan menerusi jaringan Ferran Torres pada minit ke-106 hasil gerakan kemas yang dimulakan Lamine Yamal, sekali gus menghadiahkan gelaran dunia kedua buat Sepanyol selepas kejayaan pada edisi 2010.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang sejak sepak mula dengan saling mengasak, namun tiada jaringan berjaya dihasilkan sepanjang babak pertama.

Sepanyol lebih banyak menguasai permainan dan beberapa kali menguji kubu Argentina, namun setiap percubaan berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan lawan serta ketangkasan penjaga gol, Emiliano Martinez.

Argentina pula mengancam menerusi serangan balas pantas, tetapi turut gagal memanfaatkan peluang yang dicipta untuk memecah kebuntuan.

Selepas rehat, corak permainan tidak banyak berubah apabila Sepanyol terus menguasai penguasaan bola, manakala Martinez sekali lagi menjadi watak penting dengan beberapa aksi menyelamat bagi memastikan kedudukan kekal terikat.

Situasi semakin sukar buat Argentina apabila Enzo Fernandez diperintah keluar padang pada penghujung separuh masa kedua selepas menerima kad merah susulan terjahan terhadap pertahanan Sepanyol, Pau Cubarsi.

Sepanyol hampir menamatkan perlawanan pada penghujung masa sebenar, namun sepakan percuma Lamine Yamal berjaya ditepis Martinez, memaksa perlawanan diteruskan ke masa tambahan.

Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-106 apabila Nico Williams menyambut hantaran Yamal di dalam kotak penalti sebelum melorongkan bola kepada Torres yang menyudahkannya dengan rembatan menewaskan Martinez.

Jaringan itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memastikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 dan kembali menjulang trofi Piala Dunia selepas penantian selama 16 tahun.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.