Satu gurauan yang dilontarkan sebelum memulakan pendakian akhirnya menjadi kenyataan. Seorang wanita yang ketika itu baru berusia awal 20-an hampir menghabiskan satu malam di dalam hutan seorang diri selepas tersesat di Bukit Kledang, Perak.
Ketika itu, pengalaman mendakinya masih cetek. Namun semangat anak muda yang gemar mencabar diri membuatkan Aida Fatin Ahmad tidak menyangka keputusan spontan memilih laluan hutan akhirnya membawa kepada pengalaman paling mencemaskan dalam hidupnya.
Meski sedekad telah berlalu, kenangan tersesat di tengah hutan masih segar dalam ingatannya. Bagi wanita berusia 32 tahun itu, ia bukan sahaja mengajar tentang keselamatan ketika mendaki, malah menjadi peringatan supaya tidak terlalu yakin dengan kemampuan diri.
“Sebelum naik, saya bergurau dengan rakan saya. Saya cakap, kalau saya sesat nanti awak ambil saya guna helikopter tau. Tak sangka tidak lama lepas saya cakap begitu, akhirnya memang betul-betul saya sesat,” katanya kepada Media Selangor.
Pada hari kejadian, Aida Fatin bersama rakannya memulakan pendakian sekitar jam 7 pagi. Pada awalnya mereka menggunakan laluan biasa, namun jiwa mudanya ketika itu menginginkan cabaran lebih besar.
Ketika melihat satu denai hutan yang dipercayai sering digunakan pendaki lain, beliau membuat keputusan untuk menggunakan laluan tersebut manakala rakannya meneruskan perjalanan melalui jalan tar. Mereka turut bersetuju untuk berlumba melihat siapa yang sampai ke puncak terlebih dahulu.
Tanpa pengetahuan mengenai selok-belok laluan dan pengalaman mendaki yang masih baharu, Aida Fatin meneruskan perjalanan masuk lebih jauh ke dalam hutan.
“Pada waktu itu saya tidak tahu pun sebenarnya kalau kita mendaki ini, kita kena kenal pasti laluan pendakian. Kalau ada trek, kalau laluan itu bersih, maksudnya jalan itu ada orang lalu. Tapi waktu itu saya tidak tahu,” katanya.
Semakin lama berjalan, beliau mula merasakan sesuatu tidak kena apabila laluan yang dilalui seolah-olah tidak berpenghujung. Selepas menyeberangi sebatang sungai dan terus mendaki, perasaan cemas mula menyelubungi dirinya apabila masih gagal menemui puncak.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila beliau cuba berpatah balik tetapi gagal menemui laluan asal. Telefon bimbit dan bekalan makanan pula tidak dibawa kerana semuanya disimpan oleh rakannya.
Ketika itulah beliau mula menyedari dirinya benar-benar sesat.
“Saya dah mula gelabah dan cuak. Stoking pun dah tinggal sebelah kerana pacat. Saya buka dan tertinggal di laluan sungai,” katanya.
Aida Fatin cuba mencari jalan keluar sambil meninggalkan kesan menggunakan pembungkus coklat yang dimakannya. Namun apabila menemui semula pembungkus yang sama, beliau sedar dirinya hanya berpusing-pusing di kawasan yang sama.
Jeritan meminta pertolongan tidak berbalas. Azan yang dilaungkan beberapa kali juga tidak mendapat sebarang sahutan.
Menjelang petang, beliau mengambil keputusan untuk berhenti berhampiran sungai dan menunggu bantuan. Dalam kesejukan malam yang menggigit, Aida Fatin hanya bersandarkan kekuatan mental, doa dan membaca ayat Kursi untuk terus bertahan.
“Sampai malam tu saya memang tidak berani nak buka mata. Saya tidak berani nak bersuara pun. Sebab kita duduk tempat orang kan.
“Tapi sepanjang malam itu tak berhenti baca ayat Kursi. Yang penting jangan lemah semangat,” katanya.
Sekitar jam 4 pagi, ketika tubuhnya masih menggigil kesejukan, beliau terdengar laungan azan dari kejauhan. Pada mulanya disangka sekadar mainan perasaan, namun tidak lama kemudian kedengaran suara memanggil namanya.
Aida Fatin segera membalas dengan melaungkan azan semula sebagai petunjuk lokasi.
“Saya dah habis azan orang itu pun tanya, dekat mana? Saya jerit saya dekat sini, dekat sini. Sampailah mereka jumpa saya pukul empat lebih pagi dan terus dibawa keluar daripada hutan.
“Difahamkan saya sesat tidak jauh pun dalam lebih kurang satu kilometer sahaja. Tapi satu kilometer jalan tidak sama dengan satu kilometer hutan.
“Nasib baiknya saya tak teruskan perjalanan, sebaliknya saya berhenti dekat sungai itu sahaja,” katanya.

Pengalaman itu menjadi pengajaran paling besar buat dirinya. Walaupun masih aktif mendaki dan sudah menawan lebih 10 gunung selepas kejadian tersebut, Aida Fatin mengakui keselamatan, pengetahuan laluan dan sikap merendah diri perlu sentiasa menjadi keutamaan setiap pendaki.
Bagi pekerja swasta itu, hutan bukan tempat untuk menunjuk keberanian, sebaliknya ruang yang menuntut rasa hormat terhadap alam dan batas kemampuan diri. Mungkin pengalaman yang dilalui perit, tetapi ia kekal menjadi ilmu berguna.







