SHAH ALAM, 10 JULAI: Persiapan rapi termasuk merancang laluan, memilih rakan berpengalaman dan membawa kelengkapan mencukupi mampu mengelakkan insiden sesat ketika mendaki di hutan.
Rakyat Malaysia pertama yang berjaya menawan Gunung Everest Datuk M Magendran berkata kejadian tidak diingini boleh dicegah jika pendaki membuat perancangan awal dan memahami keadaan trek.
Beliau turut menasihatkan individu kurang berpengalaman atau pendaki baharu tidak memilih gunung yang mempunyai tahap kesukaran tinggi kerana kebimbangan belum bersedia dari segi fizikal.
"Sebelum mendaki, jangan terus pergi begitu saja. Kena tahu pergi dengan siapa, sama ada mereka ada pengalaman dan kita sendiri sudah kenal atau belum dengan tempat itu. Perancangan memang sangat penting," katanya kepada Media Selangor.
Jelasnya, pendaki juga perlu mengetahui sama ada pendakian dilakukan mengambil masa sehari (day hike) atau bermalam (full hike) berikutan setiap aktiviti itu memerlukan persiapan berbeza.
Magendran turut menyarankan pendakian bermula awal pagi bagi memastikan perjalanan selesai sebelum hari gelap, selain mendapatkan permit daripada pihak berkuasa untuk rekod jika berlaku kecemasan.
"Di hutan Malaysia, pokok sangat tebal. Dalam hutan kita susah hendak nampak langit, sebab itu suasana cepat gelap. Lebih baik mula awal supaya sempat turun sebelum malam," katanya.
Tambahnya, pendaki juga tidak seharusnya bergantung penuh kepada telefon dan jam pintar berikutan peranti berkenaan boleh kehabisan bateri atau kehilangan liputan.
Selain tidak digalakkan mendaki bersendirian, kata Magendaran, pendaki disaran memakai kasut yang selesa, pakaian berwarna cerah, memiliki lampu kepala, bekalan air, makanan ringan dan ubat-ubatan.
"Semua kelengkapan ini bergantung pada tempoh pendakian, tetapi yang penting semuanya mesti mencukupi dan boleh membantu kalau berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pendaki perlu berhenti jika laluan tersasar dan meletakkan tanda seperti ranting sebelum menjejaki semula laluan ke persimpangan utama dan pasukan penyelamat.
Beliau turut mengingatkan pendaki yang sesat ketika turun dari gunung untuk kembali ke kawasan lebih tinggi kerana kesan laluan dan aktiviti manusia lebih mudah dikenal pasti.
Pada masa sama, Magendran menasihatkan semua pendaki supaya sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling serta mengetahui kedudukan setiap ahli kumpulan sepanjang pendakian.
"Bila mendaki, sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan pastikan kita tahu di mana rakan-rakan berada. Jangan ambil mudah soal keselamatan kerana ia boleh menyelamatkan nyawa," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 140 kes sesat berlaku di hutan dan kawasan pendakian seluruh negara sejak tahun lalu hingga Mei tahun ini, membabitkan seramai 307 mangsa.
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 88 kes melibatkan 193 mangsa direkodkan sepanjang 2025.









