Pusat Konvensyen MPAJ sedia jadi gelanggang e-sukan SUKMA 2026

6 Jul 2026, 6:00 AM
Pusat Konvensyen MPAJ sedia jadi gelanggang e-sukan SUKMA 2026

AMPANG JAYA, 6 JULAI: Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Taman Melawati kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi sebagai gelanggang acara e-sukan sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ Ts Hasrolnizam Shaari berkata pelbagai persiapan melibatkan aspek teknikal, logistik, keselamatan serta penyelarasan bersama agensi berkaitan telah dilaksanakan bagi memastikan penganjuran acara itu berjalan lancar.

“Pusat Konvensyen ini antara yang baharu di Ampang Jaya. Namun, untuk memberikan keselesaan dan juga penggunaan yang optimum, kita ada memperkemaskan beberapa ruang dan sudah siap sepenuhnya.

“Kita bersedia untuk melaksanakan kejohanan itu dengan tahap yang gemilang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 peringkat MPAJ, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor Dato' Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ts Hasrolnizam Shaari ketika ditemu bual media pada majlis pelepasan Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 peringkat MPAJ di hadapan Pusat Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 5 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Hasrolnizam, MPAJ turut mengadakan beberapa mesyuarat penyelarasan dan lawatan tapak bersama agensi teknikal bagi memastikan venue memenuhi semua keperluan penganjuran acara sukan itu.

Katanya, venue berkenaan dilengkapi sambungan internet berkelajuan tinggi yang stabil, bekalan elektrik mencukupi berserta pelan sokongan sekiranya berlaku gangguan, selain sistem penyaman udara yang berfungsi dengan baik demi keselesaan atlet, pegawai dan penonton.

“Selain itu, ruang pertandingan yang kondusif serta ruang khas untuk pemain, pegawai teknikal, media dan urus setia, selain susun atur tempat duduk penonton yang lebih selesa dengan laluan keluar masuk teratur.

“Selain itu, kemudahan asas seperti tandas, surau, ruang rehat dan kaunter informasi untuk memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata pelbagai aktiviti sampingan turut dirancang di sekitar venue sepanjang kejohanan bagi memeriahkan suasana serta menggalakkan penyertaan masyarakat setempat.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September.

Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah melibatkan 52 venue, manakala PARA SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dengan 316 acara.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.