KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Langkah kerajaan memperkukuh peraturan insurans kesihatan serta isu simpanan persaraan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan menerusi portal Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengajukan soalan kepada Menteri Kewangan mengenai langkah kerajaan memperkukuh peraturan insurans bagi melindungi pemegang polisi, khususnya pesakit kritikal dan kanser, daripada pembatalan polisi serta penolakan tuntutan yang tidak adil, di samping meningkatkan ketelusan dan memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian.
Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) pula meminta Menteri Kewangan menjelaskan strategi kerajaan bagi memastikan rakyat mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi, khususnya dalam kalangan pencarum KWSP, bagi mendepani peningkatan kos sara hidup serta cabaran penuaan penduduk menjelang 2030.
Pada sesi sama, Hassan Saad (PN-Baling) meminta Menteri Komunikasi menjelaskan keberkesanan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti luar bandar, memandangkan masih wujud jurang dari segi capaian internet, kemahiran digital dan pemasaran dalam kalangan usahawan kecil.
Turut dijangka menjadi tumpuan ialah soalan mengenai keberkesanan pelaksanaan aplikasi Mobile Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) sejak Mei 2025 dalam mengekang ketirisan minyak masak paket bersubsidi, selain keberkesanan skim pembiayaan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang akan dijawab oleh menteri-menteri berkaitan.
Selepas sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan sesi penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan mengenai penyata jawatankuasa berhubung Reformasi Sistem Pendermaan dan Transplan Organ Nasional.
Dewan Rakyat turut dijadualkan meneruskan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 pada peringkat jawatankuasa, selain bacaan kali kedua RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026.
Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 16 hari dan dijadualkan berakhir pada 16 Julai ini.







