SHAH ALAM, 5 JULAI: Pembinaan laluan pejalan kaki sejauh 200 meter berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT3) Stadium Shah Alam di sepanjang Persiaran Sukan, Seksyen 13, di sini yang kini giat dilaksanakan, dijangka siap sepenuhnya esok.
Projek berkenaan merupakan tindakan segera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan lawatan EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim bersama Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi ke lokasi yang tular di media sosial pada Rabu lalu.
Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Najwan yang juga EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan berkata laluan itu dibina bagi memudahkan akses pejalan kaki ke Stesen LRT Stadium Shah Alam dan kawasan berhampiran.

“Pembinaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan Stesen LRT Stadium Shah Alam ke AEON Mall di sepanjang Persiaran Sukan, Seksyen 13 sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya esok.
“Saya dimaklumkan hari Selasa ini, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneruskan kerja-kerja pembinaan laluan pejalan kaki ini di sepanjang Persiaran Akuatik pula,” katanya.
Pada 1 Julai lalu, MBSA mengumumkan pelaksanaan pembinaan laluan pejalan kaki berkenaan sebagai langkah segera bagi mengatasi isu akses pejalan kaki ke Stesen LRT3 Shah Alam.
Menurut Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, inisiatif itu diambil bagi menyediakan jaringan laluan pejalan kaki yang lebih lengkap dan selesa sejajar dengan pengoperasian LRT3.
MBSA turut memaklumkan pihaknya mengambil perhatian terhadap maklum balas orang ramai berhubung kemudahan pejalan kaki di beberapa stesen LRT3, termasuk Stesen Dato' Menteri, Stesen Stadium Shah Alam, Stesen Seksyen 7 dan Stesen Kerjaya yang mula beroperasi Isnin lalu.

Sebelum ini, sebuah video memaparkan pengguna terpaksa berjalan di bahu jalan akibat ketiadaan laluan pejalan kaki yang selamat ke beberapa stesen LRT3 tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai.









