LRT3 dijangka tarik lebih ramai pengunjung ke Bandar Diraja Klang

5 Jul 2026, 9:18 AM
LRT3 dijangka tarik lebih ramai pengunjung ke Bandar Diraja Klang

SHAH ALAM, 5 JULAI: Pembukaan Laluan Transit Aliran Ringan (LRT3) Shah Alam dijangka menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan Bandar Diraja Klang dengan memudahkan orang ramai mengunjungi bandar bersejarah itu tanpa perlu berdepan kesesakan lalu lintas.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Dato’ Abdul Hamid Hussain berkata kemudahan pengangkutan awam itu diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung sekali gus mengubah tanggapan bahawa Klang sukar diakses.

Menurutnya, inisiatif tambang percuma LRT3 selama sebulan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi peluang kepada orang ramai meneroka sendiri keunikan Bandar Diraja Klang.

Datuk Bandar Klang Dato' Abdul Hamid Hussain

"Klang kini lebih dekat berbanding sebelum ini. Dulu ramai yang teragak-agak untuk datang kerana menganggap lokasinya jauh atau bimbang dengan kesesakan di Lebuhraya Persekutuan.

"Laluan LRT3 Shah Alam menghubungkan Klang dan orang ramai boleh menaiki LRT dari Bandar Utama dan terus tiba di Bandar Diraja Klang," katanya seperti dilapor Malay Mail.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata cabaran sebenar kini bukan sekadar membawa orang ramai ke Klang, tetapi memastikan mereka meluangkan masa meneroka pelbagai tarikan sejarah, budaya dan warisan yang dimiliki bandar berkenaan.

Suasana Masjid Diraja Sultan Suleiman Klang sewaktu sebelum waktu Subuh pada 17 Mac 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau berkata Klang bukan hanya terkenal dengan makanan seperti bak kut teh, malah menawarkan pelbagai destinasi menarik termasuk Bangunan Sultan Suleiman, Masjid Diraja Sultan Suleiman, Gedung Raja Abdullah serta Little India di Jalan Tengku Kelana.

"Sebagai Bandar Diraja, setiap bangunan dan infrastruktur bersejarah di Klang mempunyai kisah tersendiri yang mencerminkan sejarah Selangor dan negara.

"Pengunjung tidak perlu memilih antara sejarah, budaya atau makanan kerana Klang menawarkan kesemuanya dalam satu destinasi," katanya.

Menurut Abdul Hamid, usaha memperbaharui imej bandar melalui pemuliharaan bangunan warisan, penaiktarafan infrastruktur awam dan penambahbaikan landskap kini diperkukuhkan lagi dengan pembukaan LRT3.

Di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, tersimpan pelbagai koleksi menarik yang dipertontonkan kepada umum sebagai warisan sejarah negeri. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut mengajak orang ramai hadir sendiri ke Bandar Diraja Klang bagi menyaksikan perubahan yang sedang berlaku, berbanding mempercayai persepsi atau tanggapan yang tular di media sosial.

"Datanglah menaiki LRT3, berjalan di sekitar bandar, berinteraksi dengan masyarakat setempat dan lihat sendiri perubahan yang berlaku.

"Klang hari ini ialah sebuah Bandar Diraja yang menghargai sejarah, maju ke hadapan dan sentiasa mengalu-alukan kehadiran pengunjung," katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.