Lebih 2,000 sertai Jom ‘Hike’ Sihat Fest, MBDK sedia saringan kesihatan percuma

28 Jun 2026, 5:00 AM
Lebih 2,000 sertai Jom ‘Hike’ Sihat Fest, MBDK sedia saringan kesihatan percuma
Lebih 2,000 sertai Jom ‘Hike’ Sihat Fest, MBDK sedia saringan kesihatan percuma
Lebih 2,000 sertai Jom ‘Hike’ Sihat Fest, MBDK sedia saringan kesihatan percuma
Lebih 2,000 sertai Jom ‘Hike’ Sihat Fest, MBDK sedia saringan kesihatan percuma

KLANG, 28 JUN: Kira-kira 2,000 peserta pelbagai kaum dan peringkat usia menyertai Program Jom ‘Hike’ Sihat Fest 2026 anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang berlangsung meriah di Taman Rakyat, Seri Andalas hari ini.

Program bersempena sambutan Hari Bapa itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Datuk Bandar Klang, Dato' Abdul Hamid Hussain turut menyertai Jom 'Hike" Sihat Fest sempena Hari Bapa di Taman Rakyat, Klang pada 29 Jun 2026. Foto Majlis Bandaraya Diraja Klang

Datuk Bandar Klang, Dato’ Abdul Hamid Hussain berkata program berkenaan turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan melalui aktiviti fizikal dan pemakanan seimbang.

Menurutnya, kerjasama bersama Pusat Pakar Perubatan Sri Kota Klang turut memberi nilai tambah apabila pelbagai perkhidmatan saringan dan kaunseling kesihatan percuma disediakan, termasuk saringan mamogram dan ujian kanser serviks.

“Program-program seperti ini akan menarik minat orang ramai untuk ke arah kesihatan. Kalau kita lihat masa kini, kesihatan merupakan perkara yang sangat penting dan semuanya bermula dari makanan.

“Jadi kita perlu lakukan aktiviti sihat. Dengan program hari ini, kita mendaki laluan sepanjang tiga kilometer dan ini membolehkan pembakaran kalori yang tinggi. Harap fasiliti kesihatan dapat dijaga supaya program boleh dilaksana berterusan,” katanya kepada pemberita.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menjalani saringan dan kaunseling kesihatan percuma daripada Pusat Pakar Perubatan Sri Kota Klang sempena Program Jom ‘Hike’ Sihat Fest di Taman Rakyat, Seri Andalas, Klang pada 28 Jun 2026. Foto Majlis Bandaraya Diraja Klang

Sementara itu, Pengarah Pusat Pakar Perubatan Sri Kota, Tan Suet Guan berkata saringan kesihatan perlu dilakukan secara berkala bagi membolehkan penyakit dikesan lebih awal sebelum menjadi lebih serius.

“Saringan hari ini dapat mengesan penyakit di peringkat awal sebelum ia menjadi lebih serius. Pencegahan, pengesanan awal dan tabiat gaya hidup sihat penting untuk memastikan individu menjalani hidup lebih sihat,” katanya.

Program berkenaan turut diserikan dengan aktiviti zumba, pembukaan kaunter bayaran cukai oleh MBDK, kempen pendermaan organ, permainan keluarga, seni hiasan belon serta cabutan bertuah.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.